MANCHESTER – Manchester City berada pada landasan tepat untuk memburu kejuaraan quadruple dengan memenangi empat kejuaraan musim ini.
Bagaimanapun, The Citizens perlu melepasi ujian daripada Chelsea terlebih dahulu menjelang aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Wembley awal pagi esok.
Bekas pemain tengah England, Owen Hargreaves menganggap, Chelsea adalah pasukan yang mampu menjadi penghalang utama buat skuad bimbingan Pep Guardiola itu merealisasikan impian menjulang empat trofi musim ini.
“City mampu mencari jalan untuk memenangi perlawanan sukar seperti mereka lakukan ke atas (Borussia) Dortmund dalam saingan (suku akhir) Liga Juara-Juara.
“Kalau berjaya lepas halangan Chelsea, saya merasakan peluang City untuk menang kejuaraan quadruple musim ini sangat cerah kerana tiada sesiapa mampu menandingi kemampuan mereka,” katanya.
Sebagai rekod, Hargreaves pernah bermain satu perlawanan bersama City dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada musim 2011/2012, namun beliau lebih diingati ketika mewakili Bayern Munich (2000-2007) dan Manchester United dari 2007 hingga 2011.
Jika berjaya mengatasi Chelsea, City akan menanti satu lagi pemenang separuh akhir antara Leicester City dan Southampton di pentas final Piala FA pada 16 Mei depan.
Selain itu, The Citizens semakin hampir untuk menjulang kejuaraan EPL apabila berkelebihan 11 mata sebagai pendahulu liga ke atas United yang merupakan pencabar terdekat di tangga kedua.
Dalam masa sama, City juga akan beraksi pada aksi final Piala Liga England menentang Tottenham Hotspur pada 25 April ini sebelum bertemu Paris Saint-Germain untuk separuh akhir pertama Liga Juara-Juara tiga hari kemudian. – AGENSI