MANCHESTER – Bintang sensasi Manchester United, Bruno Fernandes yakin pasukannya berada dalam prestasi terbaik untuk menjuarai trofi Liga Europa sekali gus menamatkan penantian kejuaraan di bawah kendalian Ole Gunnar Solksjaer.
The Red Devils berjaya melangkah ke separuh akhir Liga Europa selepas menewaskan Granada 2-0 pada suku akhir kedua di Stadium Old Trafford sekali gus merekodkan kemenangan 4-0 secara agregat.
Kata Fernandes, kemenangan itu menyuntik semangat dalam memburu trofi musim ini memandangkan harapan untuk menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kian pudar.
“Ini adalah kemenangan yang positif buat pasukan kerana peluang menjulang trofi semakin cerah selepas layak ke separuh akhir. Bagaimanapun, kami tidak boleh memandang rendah keupayaan AS Roma.
“Saya anggap peluang kedua-dua pasukan seimbang tetapi saya percaya tiada yang mustahil sekiranya semua pemain memberi tumpuan penuh untuk memenangi trofi ni,” katanya.
Sementara itu, Solksjaer mengakui, aksi disiplin sdipamerkan para pemainnya adalah kunci kejayaan mereka melangkah ke separuh akhir menerusi jaringan Edinson Cavani dan gol sendiri pemain pertahanan Granada, Jesus Vallejo.
“Kami menang aksi pertama 2-0 minggu lalu tetapi ia bukan tugas mudah untuk mengekalkan momentum yang sama kerana Granada juga merupakan sebuah pasukan berkualiti.
“Namun, pemain-pemain saya berjaya membuktikan rentak cemerlang dan mengekalkan corak permainan disiplin untuk melangkah ke pentas separuh akhir,” katanya. – AGENSI