fbpx

Ekosistem muzik sudah terpesong – Syafinaz Selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAFINAZ SELAMAT

SENI perkara yang terpaling halus. Itu antara kata yang dilaungkan Datuk Hattan dan Dia Fadila dalam lagu Tangisan Marhaenis. Liriknya berbunyi ringkas, namun tersembunyi 1,001 makna.

Antara kebenaran yang mungkin ramai terlepas pandang adalah kewujudan pelbagai anasir luaran yang menjadikan gelanggang seni sebagai satu cabang industri yang tidak lagi dipandang tinggi terutama pada era sekarang.

Tidak keterlaluan juga apabila dikatakan, pada zaman ini, sesiapa sahaja boleh menjadi penyanyi mahupun pelakon.

Apa yang dijual adakalanya bukan bakat tulen, namun aspek luaran merangkumi pakej fizikal dengan suntikan pengaruh media sosial.

Menyedihkan tetapi itulah realiti yang berlaku sekarang. Ekosistem seni sepertinya sudah terpesong disebabkan kedangkalan dan adrenalin meraih lencongan kemasyhuran.

Ekosistem sebegitulah yang diakui ikon dunia seni suara, Datuk Syafinaz Selamat.

Ketika ini, dia mudah dilihat sebagai ilmuan nyanyian, namun pada satu sisi lain, masyarakat mungkin lupa, dia juga seorang penyanyi.

SEDAR mungkin ada yang terlupa bahawa dia juga seorang penyanyi, Syafinaz tetap berkeyakinan masih ada penyokong tersendiri apabila melancarkan single berjudul Persis Salju.

Bukan sekadar glamor

“Bidang seni bukan hanya tempat untuk berlagak glamor dan mengecap populariti tetapi lebih daripada itu.

“Saya tengok penyanyi sekarang senang sangat popular dalam YouTube.

“Jauh sekali untuk menidakkan rezeki orang tetapi saya rasa ekosistem seni kita tidak sihat.

“Ramai sahabat saya bekerja keras atas nama seni. Malangnya, ada segelintir budak muda sekarang, masuk industri sekadar suka-suka hanya untuk jadi glamor.

“Saya sendiri perlu bekerja keras untuk berada dalam bidang ini dan apa yang saya lakukan? Terus memperbaiki diri, asah teknik dan melabur pergi belajar di luar negara kerana saya rasa bertanggungjawab terhadap industri,” getus anak kelahiran Pontian, Johor kepada HibGlam usia pelancaran single terbaharunya, Persis Salju baru-baru ini.

Syafinaz, 48, berkata, golongan artis muda perlu mengambil inisiatif untuk belajar dan mempertingkatkan kualiti kerja, selaras dengan kepercayaan yang diberikan peminat.

“Kalau sudah diberi duit, popular dalam YouTube atau sosial media lain, teruskan berikhtiar untuk memajukan diri. Jangan duduk di takuk sama dan terus berbohong dengan peminat.

“Mereka (peminat) yang buat anda berada di atas kerana percaya dengan bakat anda. Kalau anda bersikap jujur, anda akan mengambil inisiatif untuk terus asah bakat seni. Tambah ilmu di dada bukan hasilkan kerja sambil lewa,” tuturnya.

SYAFINAZ menzahirkan kekesalan apabila ramai anak muda masuk ke dunia nyanyian untuk meraih populariti dan berjaya dalam YouTube, namun tidak bersungguh-sungguh memperbaiki diri untuk menjadi penyanyi berkualiti.

Ubah budaya, mentaliti

Mengulas lanjut, Syafinaz memaklumkan, banyak perkara melangkaui budaya dan mentaliti yang perlu diubah dalam lanskap seni muzik tempatan andai ingin berdaya mahu sama seperti industri negara lain.

Mengambil contoh Korea Selatan, ujarnya, negara tersebut memandang seni sebagai satu kerja serius dan sesiapa yang ingin ‘masuk’ dalam bidang itu perlu penuhkan ilmu di dada terlebih dahulu.

“Artis K-pop bukan tergolong dalam penyanyi terbaik dunia, namun lihat kalau mereka buat persembahan pentas, dari segi penghayatan, tarian dan perihal penting dalam seni memang hebat.

“Mengapa? Kerana mereka dididik sejak kecil bahawa seni bukan perkara main-main. Mereka serius untuk menjerumuskan diri dalam bidang yang mereka ceburi termasuk seni.

“Hasilnya, tengok di mana mereka sekarang? Hollywood mereka tawan dan satu dunia terpesona dengan apa yang mereka tonjolkan, sama ada muzik mahupun lakonan,” getus Syafinaz yang merupakan anak bongsu daripada 11 orang adik-beradik.

Justeru, Syafinaz menyokong kuat sekiranya, syarikat rakaman mengetatkan ‘undang-undang’ sebelum menaungi mana-mana artis baharu.

“Saya sokong kalau itu untuk kemajuan industri muzik negara. Sekali lagi, belajar dan penuhkan ilmu di dada. Kalau tidak, bidang seni akan terus dipandang rendah.

“Kesungguhan juga sangat penting kalau nak jadi penyanyi. Saya banyak kali terlibat dengan penjurian program realiti. Saya sedih tengok anak-anak muda tidak bersungguh-sungguh memperbaiki diri,” katanya.

MUNCUL dengan single terbaharu berjudul Persis Salju yang telah dirakamkan lebih sedekad lalu, Syafinaz mendedikasikan lagu berkenaan buat arwah bapanya.

Simbolik Persis Salju

Sebelum mengakhiri bicara, Syafinaz mendedahkan single terbaharunya, Persis Salju merupakan single pertamanya selepas lebih sedekad menyepi.

“Orang sampai lupa yang saya ini seorang penyanyi. Sebenarnya sudah lama saya mahu lancarkan single ini namun banyak kekangan termasuk peranan sebagai pendidik.

“Lagu ini sudah 11 tahun dirakam. Saya langsung tak ubah apa-apa termasuk vokal dan muzik, cuma remastering diperbaharui.

“Bukan saya tak kisah jika orang cakap, saya hanya satu atau dua buah lagu popular.

“Saya sedar kedudukan saya dalam industri, namun itu tidak membuatkan saya patah semangat untuk menyanyi.

“Saya tahu saya mempunyai kelompok peminat tersendiri. Memang slow & steady. Sudah ada enam buah lagu untuk projek album, namun saya mahu uji pasaran terlebih dahulu dengan lagu ini,” katanya.

Lagu Persis Salju mengisahkan kerinduan mendalam terhadap seseorang. Secara peribadi, Syafinaz dedikasikan lagu berkenaan buat arwah bapanya. Lagu ciptaan Raja Mohd. Sham Raja Saari dan Zairatul Niza

Abdul Aziz tersebut kini boleh dilayari menerusi semua pelantar digital termasuk Apple Music, Spotify dan YouTube.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI