fbpx

Nenek rugi RM18,000 terjerat cinta African Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MELAKA – Seorang wanita warga emas berusia 71 tahun rugi RM18,000 selepas menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki dipercayai sindiket African Scam, pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintendan E. Sundra Rajan berkata, warga emas berkenaan mula berkenalan dengan suspek menerusi laman sosial Facebook pada 27 Mac lalu.

Katanya, mangsa yang merupakan suri rumah kemudian meneruskan hubungan bersama suspek dengan berkomunikasi menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Suspek telah memaklumkan mangsa bahawa dia akan belayar menaiki kapal kargo untuk ke Jepun bagi menjalankan projek membuat landasan kereta api.

“Lelaki itu kemudiannya memberitahu mangsa kononnya dia telah ditahan dan dibawa ke pelabuhan Melaka dan memohon agar warga emas itu dapat membuat bayaran untuk melepaskannya,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Tambahnya, mangsa yang percaya dengan kata-kata suspek telah meminta bantuan anak saudaranya untuk membuat bayaran seperti yang diminta.

“Anak saudara mangsa telah membuat tujuh kali transaksi pembayaran berjumlah RM18,000.00 ke tiga akaun bank yang berbeza diberikan oleh suspek.

“Selepas pembayaran dibuat suspek masih meminta wang daripada mangsa atas alasan suspek telah ditahan oleh pihak kastam kerana membawa sejumlah wang yang banyak,” katanya.

Sundra berkata, anak saudara mangsa kemudian mengesyaki suspek telah memperdayakan mangsa dan menasihati warga emas tersebut membuat laporan polis.

Jelasnya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Tanjung Minyak semalam dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun keseksaan kerana menipu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek bagaimanapun dipercayai bukan warga Afrika sebaliknya rakyat tempatan kerana hanya menggunakan Bahasa Melayu untuk berkomunikasi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI