fbpx

Iklan Hari Raya promosi perjudian dikecam netizen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar iklan yang menaikkan kemarahan netizen berkenaan.

PETALING JAYA – Tindakan sebuah syarikat perjudian online mengeluarkan satu video iklan mempromosikan aktiviti tersebut dengan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri mengundang kecaman serta membangkitkan kemarahan netizen beragama Islam.

Iklan tersebut yang pada mulanya menceritakan kemeriahan Hari Raya Aidilfitri kemudiannya bertukar kepada promosi aktiviti perjudian bagi mendapatkan wang untuk menyambut perayaan dengan meriah.

“Apa ditunggu marilah cuba, untung nasibmu engkau berjaya, cuci semua kemudian beraya,” menurut petikan lirik iklan berkenaan yang mempromosikan perjudian online bagi menarik pelanggan.

Tambah mengejutkan, turut kelihatan dalam video berdurasi 2 minit 1 saat itu adalah pelakon atau model dipercayai beragama Islam yang lengkap mengenakan pakaian tradisional baju kurung dan baju Melayu.

Tinjauan di laman YouTube dan Facebook mendapati rata-rata pengguna mengeluarkan komen mengecam tindakan syarikat berkenaan yang disifatkan sebagai tidak sensitif.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata​, pihaknya sedia maklum tentang perkara tersebut dan akan menyiasat perkara itu termasuk memanjangkannya kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC).

“Kami (polis) sedia maklum tentang penularan video tersebut yang secara jelasnya dilihat mempromosikan aktiviti perjudian online dengan bertemakan Hari Raya Aidilfitiri dan perkara sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Saya telah mengarahkan Bahagian Judi, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman untuk meneliti perkara tersebut selain memanjangkannya kepada pihak MCMC agar tindakan dapat diambil serta ia dapat diturunkan daripada internet,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari turut mengecam iklan tersebut yang disifatkan sebagai mencabar undang-undang serta kemuliaan bulan Ramadan.

“Tanpa sebarang syak, iklan perjudian itu benar-benar mencabar undang-undang negara bahkan juga kemuliaan bulan Ramadan.

“Kerajaan melalui MCMC wajib bertindak seberapa segera yang mungkin dan iklan itu wajib ditarik semula dan mereka yang bertanggungjawab menerbitkan iklan ini wajib diadili,” katanya menerusi satu kemaskini status di Facebook semalam.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI