YAN – Penghuni Pondok Fauzi di sini cemas apabila lima buah rumah di kawasan pondok pengajian Islam itu terbakar dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 malam ini.
Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan mangsa kerana difahamkan kebakaran berlaku ketika penghuni sedang menunaikan solat tarawih di surau
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 9.38 malam.
“Pusat Gerakan Operasi JBPM Kedah menerima panggilan kebakaran rumah melalui MERS 999 dan mengarahkan satu jentera Light Fire Rescue Team (LFRT) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan ke lokasi kejadian.
“Kita kemudian memohon bantuan satu jentera FRT dan satu jentera EMRS dari BBP Guar Chempedak serta memohon bantuan Pasukan Bomba Sukarela berdekatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian didapati kebakaran melibatkan lima buah rumah dua tingkat dan api berjaya dikawal pada pukul 10.10 malam.
Tambahnya, penilaian awal kemusnahan akibat kebakaran kelima-lima buah rumah tersebut adalah hampir 90 peratus.
“Kerja-kerja overhaul sedang dijalankan di lokasi kejadian,” ujarnya. – K! ONLINE