fbpx

Jun Hoong berkobar buru tiket Olimpik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JUN HOONG dalam keadaan baik untuk menyertai kejohanan Piala Dunia di Tokyo bermula 1 hingga 6 Mei depan bagi memburu tiket untuk bersaing pada Sukan Olimpik 2020 Tokyo, Jepun.

PENERJUN negara, Cheong Jun Hoong mendedahkan dia tidak dapat melupakan detik ngeri berdepan kecederaan kronik pada lutut kirinya sehingga memaksanya melupakan aksi pada Sukan Asia di Jakarta pada tahun 2018.

Apa tidaknya, Jun Hoong perlu menjalani proses rawatan pemulihan yang panjang dan bergelut untuk mendapatkan rentak terjunan terbaiknya semula.

Bagaimanapun, keadaan itu tidak langsung membuat Jun Hoong berputus asa untuk terus berusaha sehabis baik bagi me­layakkan diri ke Sukan Olimpik di Tokyo, Jepun Julai depan.

Kejohanan terjun Piala Dunia di Tokyo bermula 1 hingga 6 Mei depan bakal menjadi peluang terakhir untuk penerjun dari Perak itu memburu tiket ke temasya sukan terbesar dunia berkenaan buat kali ketiga.

Jun Hoong telah memiliki satu pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 dan setahun selepas itu, Chong Jun Hoong bergelar juara dunia.

“Saya akan cuba yang terbaik dan menempatkan diri dalam kelompok 18 terbaik, itu sahaja sasaran saya sekarang.

“Betul saingan di Tokyo nanti adalah tiket terakhir ke Sukan Olimpik sebab sebelum ini dikatakan dibatalkan tetapi diadakan kembali di Tokyo dan ia berita yang baik kerana sekurang-kurangnya ada peluang untuk layak ke Olimpik Tokyo.

“Prestasi saya ketika ini baik cuma ada lagi yang perlu diperbaiki. Paling penting saya perlu kekalkan konsistensi dalam terjunan,” katanya ketika ditemui selepas menerima vaksin ­Covid-19 baru-baru ini.

Atlet terjun yang turut mengintai peluang untuk layak ke Olimpik selain Jun Hoong adalah Chew Yiwei dan Ooi Tze ­Liang, manakala Pandelela Rinong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri dan Wendy Ng Yan Yee telah menempah slot ke temasya itu lebih awal.

Jun Hoong dan Pandelela mencipta sensasi apabila berjaya membawa pulang pingat perak dalam acara 10 meter platform seirama wanita pada Sukan ­Olimpik Rio 2016.

Ditanya tentang latihan di luar negara, Jun Hoong menyerahkan segala perancangan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persekutuan Renang Malaysia (MAS).

“Terpulang kepada MSN atau MAS. Kalau dapat berlatih di luar negara memang lebih baik. Tekanan memang ada tetapi saya harap semuanya akan berjalan lancar seperti dirancang. Setakat ini semua okey termasuk kece­deraan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI