DORTMUND – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berpuas hati dengan pencapaian skuad bimbingannya yang kini ‘selangkah’ lagi ke pentas final Liga Juara-Juara selepas mara ke separuh akhir musim ini.
Kejayaan itu hadir selepas City meraih kemenangan 4-2 secara agregat ke atas Borussia Dortmund selepas menang 2-1 pada suku akhir kedua di Stadium Signal Iduna Park awal pagi semalam.
The Citizens kini muncul pilihan utama untuk bergelar juara baharu Eropah meskipun ia bukan tugas mudah kerana bakal bertemu finalis musim lalu, Paris Saint-Germain (PSG) dalam dua aksi separuh akhir pada 28 April dan 5 Mei depan.
“Sudah tentu kami akan berikan aksi yang lebih baik. PSG adalah finalis musim lalu yang berjaya menewaskan dua pasukan hebat seperti Barcelona dan juara bertahan, Bayern Munich.
“Jangan lupa kami terkandas tiga kali berturut-turut di suku akhir sebelum ini. Sekarang waktunya untuk kami mengorak langkah lebih jauh dan menebus segala kekecewaan lalu,” kata Guardiola.
City dikejutkan dengan gol pertama Dortmund untuk mengikat agregat 2-2 daripada pemain tengah England berusia 17 tahun, Jude Bellingham pada minit ke-15.
Pendahulu Liga Perdana Inggeris itu bangkit dengan dua gol dalam babak kedua untuk mengesahkan kemenangan mereka menerusi Riyad Mahrez dan Phil Foden pada minit ke-55 serta 75.
Sebagai rekod, ini adalah kali kedua City mara ke separuh akhir sejak dilakukan pada edisi 2015/2016 dan kini berpeluang cerah menamatkan penantian merangkul gelaran Liga Juara-Juara yang pertama dalam sejarah pasukan itu. – AGENSI