BERSEMPENA bulan Ramadan dan Syawal tahun ini, stesen AlHijrah tampil menyajikan pelbagai program menarik buat penonton setia.
Pengerusinya, Datuk Hussamuddin Yaacob berkata, tahun ini pihaknya mengangkat tema Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir bagi mengajak para penonton menghayati dua bulan penting dalam kalendar Islam tersebut.
“Stesen AlHijrah menyediakan pelbagai program menarik bagi memenuhi rohani penonton sepanjang Ramadan dan Syawal yang akan datang.
“Kesemua program ini telah disusun rapi dengan teliti agar objektif untuk mendidik jiwa, menghiburkan dan memberi pengajaran dapat dicapai sepenuhnya,” jelasnya.
Kempen
Kata Hussamuddin lagi, kempen Andai Ini Ramadan Terakhir dan Andai Ini Syawal Terakhir didukung dengan tiga inisiatif utama stesen iaitu penerbitan dan penyiaran 24 rancangan baharu meliputi genre dokumentari, rancangan kanak-kanak, komedi, masakan, kerohanian dan filem.
Kedua merupakan inisiatif platform digital, manakala yang ketiga merupakan pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.
“Sama-sama kita jadikan stesen ini sebagai pilihan nombor satu seisi keluarga serta ladang ilmu yang mampu menjadi bekalan di akhirat kelak andainya ini menjadi Ramadan dan Syawal terakhir untuk semua,” katanya.
Program menarik
Antara program menarik sempena Ramadan untuk penonton termasuklah Haflah (bersiaran Khamis dan Jumaat pukul 10 malam bermula 1 April) dan Omar & Hana (Isnin hingga Sabtu pukul 11.30 pagi bermula 12 April).
Turut ditayangkan, slot Ihya Ramadan (Isnin hingga Ahad, pukul 7 petang bermula 13 April) dan E-Kaunter Netizen (Ahad, pukul 7.30 malam bermula 18 April).
Bahkan, stesen tersebut turut menyajikan program Hijrah Berselawat (Sabtu pukul 10 malam bermula April), Aura Al-Qadar (setiap hari pukul 10.30 malam bermula 28 April).
Turut mengisi slot Ramadan termasuklah drama Andai Ini Ramadan Terakhir (13 April), Sebuah Kehidupan (bermula 16 April), Ittabiouni (bermula 13 April), Al-Farabi (15 April) dan My #HadithTime (Isnin hingga Jumaat pukul 5 petang bermula 1 April).
Sementara itu, program menarik sempena Syawal pula Camca Edisi Syawal (13 Mei pukul), Hijrah Berselawat (12 Mei), Tau Tau Dah Raya (12 Mei) dan Raya, Raya Juga (9 malam).
AlHijrah turut menyiarkan telefilem berjudul Bebenang PKP Anis (15 Mei), Bapa Posa Anak Raya (16 Mei), Gema Haflah Istimewa Syawal (22 Mei) dan Dokumentari Sudirman Chow Kit Road (16 Mei).