TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itu perumpamaan yang paling sesuai digambarkan buat aktor Kim Seon-ho yang terus menuai populariti hari demi hari.
Selepas merebut hati ramai menerusi drama Start-Up sebagai hero kedua iaitu Han Ji-pyeong, rezeki lelaki berusia 35 tahun itu semakin murah saban hari.
Bukan sahaja menjadi rebutan ramai produser drama dan filem, bahkan namanya juga menjadi sebutan pelbagai jenama terkenal untuk dijadikan sebagai duta.
Langsung tidak pernah diambil menjadi model untuk mana-mana jenama sebelum ini, namun hidupnya berubah apabila dia ditawarkan iklan komersial pertamanya iaitu Food Bucket, jenama suplemen kesihatan bermula hujung tahun lalu.
Sejak dari situ, tawaran yang datang bertimpa-timpa dan melimpah ruah dalam dunia pengiklanan termasuklah menjadi duta dan jurucakap bagi jenama Domino’s Pizza, Canon, 11th Street, Globe, Miima Mask, La Roche Posay dan banyak lagi.