SEDEKAD sudah berlalu, pelakon Azrel Ismail masih utuh berdiri di sebalik rimbunan wajah pendatang baharu yang datang silih berganti menghiasi televisyen ketika ini.
Tidak dinafikan, namanya menjadi antara pelakon lelaki yang masih laku bagi menghiasi drama selaku bintang utama.
Setakat ini, perjalanan seninya terlihat bersih. Sekadar sempat menyinggah sebentar menguji, namanya pernah diduga dengan isu melibatkan kisah cinta bersama beberapa pelakon wanita cantik. Lebih daripada itu, tidak pernah.
Mudah cerita, Azrel tidak memanas dengan kontroversi yang boleh menghumbannya ke lembah kecaman netizen. Tetapi dia akui selesa menjalani hidup begitu dan memilih cara selamat mendepani karier sebagai anak seni.
“Sejujurnya, saya akui memang orang nampak macam karier saya mendatar sahaja. Ada tetapi suram. Tetapi pada saya, perlukah ada publisiti untuk bawa nama ke depan?
“Sebenarnya perkara ini (kontroversi dan publisiti) bergantung kepada seseorang artis. Ada kontroversi, nama naik. Tapi semua orang tahu, benda begitu sekejap sahaja dan akan hilang.
“Selepas hilang, reputasi sudah dikira tercalar. Orang kata, nasi sudah jadi bubur dan tidak boleh berpatah balik.
“Contohnya kalau ada jenama atau kempen yang mahu jalin kerjasama, mereka akan ambil kira rekod sebegitu. Saya tidak perlukan kontroversi. Biarlah terlihat macam ‘kosong’ tetapi sekurang-kurangnya saya bersih,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Jom #SapotLokal Filem 2021 baru-baru ini.
Perbezaan
Bagaimanapun ujar pelakon drama Janda Kosmopolitan itu, dia dan pihak pengurusan ada terfikir untuk melakukan strategi pemasaran, tetapi bukanlah perkara yang berpotensi membinasakan kariernya kelak.
Alasan Azrel, tidak semua pihak menjadikan jumlah pengikut media sosial kayu pengukur sebelum menawarkan sebarang projek kepada mana-mana artis. Sebaliknya, aspek yang paling dinilai ialah reputasi bersih daripada kontroversi.
“Memang ada perancangan buat sesuatu tetapi mestilah dengan cara positif. Cuma saya tidak nafikan, ada terima banyak cadangan daripada ramai orang supaya timbulkan isu negatif.
“Jujur cakap, saya tidak bersedia melakukannya. Apatah lagi kalau perkara tidak bermoral. Biarlah, saya selesa begini. Walaupun tidaklah meroket macam orang lain tetapi yang penting, saya tetap masih ada dan relevan dalam industri,” ujarnya positif.
Ditebak dengan soalan, apakah dia berasakan dirinya berada di landasan selamat sehingga enggan keluar dari zon selesa, Azrel ada jawapan tersendiri.
Kisah cinta, kekasih atau suami orang, watak sebegitu sudah cukup sebati dengan dirinya sejak dahulu.
Terbuka dengan pendapat yang ditujukan kepada dirinya, Azrel berkata, itu semua bergantung kepada penerimaan penonton dan peminat untuk menilai lakonannya.
“Mungkin orang nampak sama tetapi sebagai pelakon, kami rasa lain. Sebab setiap naskhah ada jalan cerita yang berbeza. Jadi watak yang dibawakan juga semestinya berbeza walaupun masih berstatus kekasih atau suami orang.
“Pun begitu, saya ambil positif sahaja dengan komen yang diberikan orang ramai. Mungkin ada betulnya, jadi saya sentiasa belajar untuk meningkatkan mutu lakonan,” katanya.
Rezeki mencurah
Berbalik tentang kerjayanya, pelakon berusia 37 tahun itu bersyukur kerana sehingga ke hari ini, rezeki dalam industri masih ada dan sentiasa berpihak kepadanya.
Buktinya, dia akan melalui fasa sibuk sehingga bulan September depan dengan banyak penggambaran sedang menanti termasuklah drama dan program televisyen.
“Sekarang saya sibuk menyambung semula penggambaran drama yang tertunda gara-gara pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 tempoh hari. Sepanjang bulan Ramadan pun sibuk bekerja.
“Tidak lama lagi, saya akan turun ke set penggambaran sebuah drama episod.
“Kemudian pada bulan Ogos, saya akan terlibat dengan pementasan teater di Sarawak pula. Pada masa sama, komitmen saya bersama RTM masih berjalan untuk program Hotspot yang bersiaran setiap minggu,” kata Azrel.
Sebelum menutup perbualan, pelakon drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin itu meluahkan rasa teruja apabila filem lakonannya berjudul Biko menjadi naskhah layar lebar tempatan pertama yang memasuki pawagam semenjak pandemik Covid-19 melanda dunia lebih setahun lalu.
Biko arahan Teng Bee mengisahkan seorang lelaki bekerja sebagai pemandu lori yang bercerai dengan isterinya lakonan Baby Shima dan terpaksa menjaga anak lelaki mereka bernama Biko sejak kecil.
“Judul filem ini Biko iaitu watak anak saya. Naskhah tersebut merupakan adaptasi daripada sebuah filem Hong Kong.
“Penggambaran dijalankan selama dua minggu di sekitar Kuala Lumpur.
“Ini merupakan filem ketiga lakonan saya dan sejujurnya sangat teruja sebab jadi naskhah lokal pertama yang akan menemui penonton di panggung wayang pada Jun depan,” tutupnya mesra.