PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak dapat menyembunyikan kekecewaan apabila mengakui unjuran penurunan kes pada Mei ini tidak mungkin berlaku.
Dalam nada kesal, beliau menyifatkan kegagalan masyarakat yang alpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai antara penyumbang terbesar lonjakan penularan Covid-19.
“Jika anda lihat pada rajah unjuran awal ini, ia menunjukkan graf trend menurun dan kita unjur kemungkinan dapat mencapai sekitar 500 kes baharu sehari menjelang bulan depan.
“Bagaimanapun, nampaknya keadaan ketika ini tidak memberangsangkan dengan ramai tidak patuh SOP dan mungkin kes positif melonjak balik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan buku ‘Malaysia Health Sector Response To Covid-19 Pandemic: Perspective From The Field’ di pejabatnya hari ini.
Menyentuh isu vaksin AstraZeneca sama ada akan digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), beliau berkata, perkara itu dijangka diketahui pada minggu depan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) yang dipengerusikan beliau dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaludin yang akan meneliti balik isu tersebut.
“Secara terus terang, saya yang menandatangani perolehan vaksin ini daripada dua sumber termasuk dihasilkan di Thailand untuk keperluan 10 peratus penduduk Malaysia,” jelas beliau.
Bagaimanapun ujar Adham, bekalan itu dijangka tiba pada Mei atau Jun dengan ada tempoh masa lagi jika JKJAV memutuskan untuk pembatalan perolehan atas faktor risiko tertentu.
Justeru katanya, rakyat negara ini diharap tidak perlu berasa bimbang kerana pihak kerajaan akan membuat penilaian semula berdasarkan data dan rekod terkini dari seluruh dunia. -K! ONLINE