KUALA LUMPUR – Seorang tukang masak sebuah hotel di Singapura dihukum penjara tiga tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas enam pertuduhan memiliki item berkaitan Daesh tahun lalu.
Hakim Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman terhadap Mohd. Firdaus Kamal Intdzam ,34, selepas tertuduh yang merupakan rakyat tempatan dan bekerja di Singapura itu mengaku salah atas keenam-enam pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan dan hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh tertuduh ditangkap pada 5 Ogos 2020.
Mengikut pertuduhan pertama hingga keenam tertuduh didakwa memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan perbuatan keganasan dan kumpulan pengganas Islamic State (IS) antaranya dua keping kad memori, sehelai bendera, empat buah buku dan dua buah telefon bimbit.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Kawasan Pemeriksaan Kementerian Kesihatan Malaysia, Pekarangan laluan bas masuk, Balai Ketibaan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu pukul 10.40 pagi pada 5 Ogos 2020.
Bagi kesemua kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum dibawah peruntukkan sama yang jika sabit kesalahan penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Sarah Khalilah Abdul Rahman memohon mahkamah mengenakan hukuman berbentuk pemenjaraan antara tiga dan empat tahun berdasarkan trend hukuman bagi kes-kes terdahulu di bawah Seksyen 130JB Kanun Keseksaan adalah sebegitu.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan termasuk mengaku salah dengan perbuatannya.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap selepas pulang ke negara ini melalui Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin, Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu.
Sejurus selepas ditangkap, polis kemudian telah merampas kesemua item – item yang berkaitan dengan Daesh seperti dalam pertuduhan. -K!ONLINE