KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 31 Mei ini bagi pendengaran permohonan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) untuk mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu.
Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid menetapkan tarikh tersebut pada pengurusan kes hari ini.
Terdahulu Ahmad Kamal berkata mahkamah perlu mendengar kes itu dengan kadar segera kerana ia merupakan kes kepentingan awam.
“Mahkamah mengarahkan responden (Menteri Dalam Negeri dan RoS) memfailkan afidavit jawapan sebelum atau pada 3 Mei manakala pemohon (Pejuang) perlu memfailkan afidavit balasan sebelum atau pada 10 Mei. Kedua-dua juga perlu memfailkan hujahan bertulis sebelum atau pada 27 Mei,” katanya.
Dalam prosiding hari ini Pejuang selaku pemohon diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid Ali manakala Peguam Kanan Persekutuan Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mewakili responden iaitu Menteri Dalam Negeri dan RoS.
Pada 1 April lalu, Pejuang memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Menteri Dalam Negeri dan RoS yang belum membuat keputusan terhadap rayuan mereka untuk mendaftarkan parti itu, selepas Jabatan Peguam Negara tidak membantah permohonan parti itu.
Pada 1 Mac lalu, Setiausaha Agung Jawatankuasa Penaja Pejuang Datuk Amiruddin Hamzah memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman dengan menamakan Menteri Dalam Negeri dan RoS sebagai responden pertama dan kedua.
Dalam permohonan itu, Amiruddin antaranya memohon deklarasi bahawa kegagalan responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap surat rayuan parti Pejuang pada 8 Jan lepas berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua telah melanggar kewajipan statutorinya di bawah Seksyen 18 Akta Pertubuhan 1966.
Beliau juga memohon deklarasi bahawa pelanggaran kewajipan statutori responden pertama untuk membuat sebarang keputusan terhadap rayuan parti Pejuang itu berkenaan penolakan pendaftaran oleh responden kedua adalah tidak munasabah, berniat jahat, satu bentuk percubaan tidak wajar untuk menafikan hak berperlembagaan pemohon untuk berpersatuan dan bertanding dalam pilihan raya umum menggunakan logonya sendiri.
Pada 2 Februari lalu Pejuang yang diasaskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri berhubung pendaftaran parti itu setelah permohonan mereka ditolak. -K!ONLINE