PUTRAJAYA – Penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan dilaksanakan di semua bazar Ramadan dan Aidilfitri termasuk di bazar yang bukan di bawah penyeliaan dan kawalan PBT.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan berkata, bagi memastikan pelaksanaan dan pematuhan SOP di bazar Ramadan dan Aidilfitri, PBT akan menempatkan sekurang-kurangnya empat anggota masing-masing mengikut saiz dan kapasiti keluasan bazar terlibat.
“Tugasan kawalan di laluan masuk dan keluar serta rondaan ini juga akan turut dibantu oleh anggota RELA dalam memastikan keadaan bazar adalah terkawal, tidak sesak dan semua pengunjung dapat mematuhi SOP yang telah ditetapkan,” katanya di sini hari ini.
KPKT berkata, pemakluman terhadap pelaksanaan SOP di bazar-bazar Ramadan dan Aidilfitri turut dihebahkan melalui platform hebahan masing-masing seperti portal rasmi PBT, media sosial, pengedaran risalah dan billboard.
“Pembesar suara juga digunakan sebagai peringatan kepada pengunjung tentang pematuhan SOP ini.
“Di samping itu, sesi taklimat turut diberikan kepada para peniaga yang terlibat bagi memastikan pematuhan terhadap syarat-syarat yang telah ditetapkan,” katanya.
Semalam, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan Pegawai Penguatkuasa PBT Gred 19 ke atas untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) termasuk SOP di bazar Ramadan di beberapa lokasi di negara ini. -K! ONLINE