PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata asas pemulihan ekonomi Malaysia adalah berkait rapat dengan kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kini memasuki fasa kedua.
Beliau yakin negara mampu akan menamatkan pandemik Covid-19 jika lebih ramai rakyat mendapatkan suntikan vaksin.
“Semakin ramai Malaysia mendapat suntikan vaksin, saya yakin kita akhirnya berada pada peringkat untuk menamatkan pandemik ini,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perjumpaan Bersama Industri di Dewan Perdana Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kuala Lumpur hari ini.
Muhyiddin berkata, Bank Negara Malaysia mengunjurkan ekonomi negara melonjak semula dalam jajaran enam hingga 7.5 peratus tahun ini dengan pemulihan aktiviti domestik yang stabil di samping dengan peningkatan permintaan luaran sekali gus menjadi keyakinan itu optimis.
“Sebagai ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan, Malaysia akan terus menjadi penyokong kukuh sistem peraturan perdagangan pelbagai hala. Selain itu, Malaysia akan terus terbabit dalam membina inisiatif integrasi ekonomi serantau termasuk secara aktif memeterai Perjanjian Perdagangan Bebas atau FTA yang akan membawa manfaat ketara kepada negara.
“Inilah sebab utama penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang memberi akses istimewa kepada satu pertiga penduduk dunia dengan nilai pasaran 29 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dunia,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sebagai pelengkap kepada usaha integrasi ekonomi negara, Malaysia akan menerapkan dasar perdagangan dan pelaburan mantap, memupuk ekosistem yang membolehkan komuniti perniagaan berkembang dan meningkatkan proses domestik bagi memudahkan pelabur. -K! ONLINE