PETALING JAYA – Pendakwah terkenal, Ebit Lew bermurah hati memborong nasi beriani dan tomato untuk 300 orang gelandangan bagi berbuka puasa di sekitar ibu negara di sini semalam.
Menurut laman Facebooknya, Ebit Lew telah memborong makanan tersebut di beberapa gerai sebelum membawanya ke kawasan gelandangan di sekitar ibu negara untuk diagihkan sebelum waktu berbuka.
“Paling terharu bila saya mula menyiapkan makanan untuk diagihkan, semua sudah beratur dan barisan makin ramai saya hanya mampu berdoa agar makanan mencukupi. Bila tengok ada anak-anak kecil ceria lagi buat hati ini semakin sayu.
“Nasib setiap orang berbeza namun saya rasa bersyukur dan melihat mereka buat rasa tenang bahagia. Rata-rata mereka bertanyakan khabar dan mengucapkan terima kasih yang membuatkan sebahagiannya hati saya rasa kecil kerana cara mereka menghargai makanan,” katanya di sini hari ini.
Mengulas lanjut, makanan yang disediakan untuk 300 orang tersebut habis tidak sampai 40 minit dan semua gelandangan tanpa mengira bangsa atau agama dapat menikmati juadah tersebut selepas waktu berbuka.
“Dahulu, saya sering tidur di masjid, kadang-kadang tumpang makan sekiranya ada jamuan. Saya selalu lapar masa duduk di Kuala Lumpur untuk mencari kerja sebab duit semua hantar ke kampung. Ujian kan.
“Kumpulan saya gembira kerana dapat berbuka bersama golongan gelandangan dan orang susah di jalanan. Melihat sebahagian mereka makan di atas lantai dan di tepi jalan mebuatkan hati bertambah sayu. Semoga menjadi asbab kebaikan dan kenangan terindah buat kami,” ujarnya.