MANHATTAN, NEW YORK – Cef selebriti, Nusr-et Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, disaman AS$5 juta (RM20.7 juta) oleh seorang pelukis yang mendakwa bintang media sosial itu menggunakan hasil seninya di seluruh dunia tanpa kebenaran, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Cef selebriti media sosial itu didakwa menggunakan hasil seni William Hicks dan seorang lagi pelukis, Josphe Lurato d tanpa kebenaran kedua-dua artis tersebut.
Menurut tuntutan di Mahkamah Persekutuan Manhattan, Hicks berkata, pada September 2017 Nusr-et telah melantik dia dan Iurato untuk menghasilkan mural cef itu dalam gaya uniknya yang sedang menabur garam.
Karya pertama dipaparkan di sebuah kedai stik Salt Bae di Miami dan mural kedua di restorannya di Doha, Dubai serta New York.
Bagaimanapun, pada tahun lalu, Hicks mendapati bahawa Salt Bae dan syarikatnya menggunakan imej sama di seluruh dunia. Imej tersebut dipaparkan pada tingkap kedai, papan tanda digital, menu, tisu, beg bungkusan dan label perasa makanan, kesemuanya tanpa kebenaran Hicks.
“Defendan terlibat dalam perlakuan mengedarkan secara meluas dan tanpa kebenaran serta penggunaan karya seni asal di restoran stik Nusr-et serta restoran Salt Bae Burger di lokasi-lokasi antaranya New York, Dubai dan Istanbul,” demikian menurut saman tersebut.
Susulan itu, Hicks pada April 2020 telah menghantar surat yang menuntut Salt Bae dan syarikatnya supaya berhenti menggunakan karya lukisan asal namun diabaikan oleh cef itu.
Dia sebaliknya memperluaskan penggunaan karya tersebut di lokasi-lokasi seperti di Doha, D Maris Bay di Turki, Boston, Dallas dan beberapa lagi lokasi tambahan di Istanbul.
Nusr-et mula mendapat perhatian dunia pada tahun 2017 apabila gambar signatur uniknya yang menabur garam ke atas stik menjadi tular di Instagram. – Agensi