IPOH- Masalah cinta dipercayai menjadi punca pertengkaran sepasang kekasih yang berakhir dengan kematian seorang wanita akibat ditikam dalam kejadian di Taman Perpaduan dekat Tambun, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.45 malam itu, K. Krishna, 31, ditemukan dalam keadaan berlumuran darah di ruang tengah rumahnya bersama beberapa kesan tikaman di dada dan badan.
Turut dijumpai berhampiran mayat mangsa, seorang lelaki berusia 23 tahun dipercayai teman lelakinya yang juga parah akibat ditikam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, pihaknya ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan seorang wanita yang memaklumkan terdapat pergaduhan di rumah jirannya.
Katanya, pemeriksaan di dalam rumah mendapati seorang wanita dan lelaki terbaring tidak sedarkan diri dengan kesan tikaman di badan.
“Siasatan mendapati kedua-dua mereka tiada hubungan kekeluargaan dan suspek dipercayai teman lelaki mangsa.
“Ketika kejadian, dua anak lelaki wanita itu yang berusia lapan dan enam tahun berada di rumah sekali gus menyaksikan kejadian tersebut,” katanya.
Anuar berkata, suspek yang parah ditikam dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan dan kini berada di zon merah di Jabatan Kecemasan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan sama ada suspek cedera akibat ditikam mangsa atau dilakukan sendiri dalam cubaan untuk membunuh diri.
“Berdasarkan siasatan, mangsa sebelum ini ada membuat laporan polis mengenai suspek yang selalu mengganggunya termasuk menceroboh rumah.
“Kita juga pernah membuat tangkapan ke atas suspek pada 15 Mac lalu dan dia juga telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh,” katanya.
Tambah beliau, pihaknya sedang merakam keterangan saksi kejadian termasuk jiran dan anak mangsa bagi mengetahui punca kejadian dan sejauh mana hubungan mereka.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. -K! ONLINE