Hari ini, 1 Ogos 2020. Semua orang wajib memakai pelitup muka di tempat umum jika tidak mahu didenda RM1,000.
Mereka yang selama ini memakai pelitup muka sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilancarkan tidak lagi berseorangan.
Mereka tidak lagi dipandang seperti ‘orang sakit’ bagi majoriti orang yang merasakan pelitup muka bukan lagi satu keperluan setelah negara memasuki PKP Pemulihan.
Memang pelitup muka bukan benda yang dapat menghindarkan penyakit, tetapi anggaplah ia langkah ikhtiar untuk mengurangkan risiko jangkitan.
Kajian terbaharu membuktikan memakai pelitup muka boleh memutuskan rantaian Covid-19 sebanyak 60 peratus.
Penggunaannya diwajibkan di Malaysia menerusi Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988
(Akta 342) berkuat kuasa bermula hari ini, 1 Ogos.
Namun, masyarakat yang paling kuat menentang penggunaan pelitup muka itulah yang sedang menderitai akibat Covid-19.
Semasa Covid-19 baru menular di China dan beberapa negara, seorang individu dari Amerika Syarikat (AS) bertindak menyindir rakyat negara lain terutama dari Asia Timur yang memakai pelitup muka.
Mereka mendakwa penggunaan pelitup muka tidak boleh diterima masyarakat AS kerana ia menunjukkan ciri kurang sopan.
Pemikiran ini akhirnya menghukum AS apabila kini menjadi negara yang paling banyak kes Covid-19 iaitu lebih 4 juta melibatkan 150,000 kematian.
Kasihan nasib mereka yang berusaha untuk mematuhi prosedur operasi standard.
Kasihan juga pakar-pakar kesihatan di negara tersebut kerana perlu berdepan dengan kedegilan manusia.
Mei lalu, seorang pengawal keselamatan kedai di Michigan mati ditembak oleh pelanggan yang enggan memakai pelitup muka.
Seorang penjaga kedai tua di Florida pula ditolak ke atas kerusi roda sebelum diacukan pistol dan diugut bunuh.
Kalau di Malaysia kita hanya diminta ‘menembak’ kepala dengan peralatan ukur suhu inframerah, di sana ada yang ditembak betul-betul dengan pistol.
Seorang saintis dari University of California, Jonas Kaplan berkata, sesetengah orang memberontak terhadap idea memakai pelitup muka kerana mereka tidak suka untuk diarahkan.
“Bagi mereka memakai pelitup muka adalah pencabulan hak individu,” katanya.
Seorang wanita dari Carolina Utara baru-baru ini dengan beraninya merakam video sambil membakar pelitup muka lalu melaungkan “kebebasan kami”.
“Rakyat tidak boleh terima arahan kerajaan,” keluh Gabenor Ohio, Mike DeWine kepada ABC News.
Pengarah jangkitan penyakit di sebuah pusat perubatan di Tennessee, Dr. David Aronoff berkata, mentaliti orang muda AS ‘saya muda, saya sihat, saya tidak kisah dijangkiti’ benar-benar satu masalah yang sukar ditangani.
Penulis ingin mengulangi kata seorang pengkaji politik AS, Geoffrey Kabaservice.
“Saya dari Florida. Krisis koronavirus yang sedang kami alami ini tidak mengejutkan saya,” katanya.
Apalah gunanya menjadi negara dan bangsa yang didakwa maju kalau akhirnya bebal?
Tidak keterlaluan dikatakan mungkin Covid-19 yang melanda seluruh dunia pada tahun 2020 ini untuk kita bermuhasabah masyarakat negara maju bagaimanakah yang hendak kita jadikan acuan. – K! ONLINE