MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer perlu memastikan mereka tidak mensia-siakan kelebihan dua gol di tempat lawan menjelang aksi suku akhir kedua Liga Europa menentang Granada di Stadium Old Trafford awal pagi esok.
Solskjaer, 48, sedar mereka akan menghadapi cabaran daripada wakil Sepanyol itu dalam keadaan ‘tempang’ tanpa tiga pemain utama kerana penggantungan satu perlawanan.
The Red Devils terpaksa akur tidak dapat menggunakan khidmat dua tonggak pertahanan iaitu kapten, Harry Maguire dan Luke Shaw serta pemain tengah bertahan, Scott McTominay.
“Kemenangan 2-0 sebelum ini adalah satu keputusan yang sangat bagus tetapi kami terpaksa terima hakikat ia menyebabkan kami hilang tiga pemain,” kata Solskjaer.
Bek tengah Granada, Jesus Vallejo menegaskan, dia dan rakan-rakan sepasukannya bertekad untuk memanfaatkan kesempatan itu dengan melancarkan serangan bertali arus ke arah gawang gol United awal pagi esok.
“Kami boleh bergembira dengan prestasi sewaktu suku akhir pertama walaupun keputusan tidak memihak kepada kami. Saya percaya kami boleh menang di Manchester jika mengekalkan prestasi sama,” jelasnya.
United dijangka kembali menyenaraikan penjaga gol No. 1, David De Gea dan menurunkan Paul Pogba, Mason Greenwood serta Edinson Cavani yang beraksi cemerlang menewaskan Tottenham Hotspur 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris baru-baru ini.
Biarpun tanpa Maguire dan Shaw, United masih mempunyai beberapa calon pengganti sepeti Axel Tuanzebe dan Alex Telles untuk mengisi kekosongan tersebut dan memastikan jentera serangan Granada berdepan kesukaran sepanjang perlawanan itu nanti. – AGENSI