LONDON – Air kolam renang berisi klorin dikatakan dapat membunuh virus Covid-19 dalam masa hanya 30 saat, demikian menurut satu kajian baharu seperti dilaporkan akhbar Daily Mail semalam.
Dalam kajian itu, pasukan penyelidik dari Kolej Imperial London mengkaji kesan kepekatan klorin di dalam air yang berbeza terhadap virus SARS-CoV-2. Virus tersebut menyebabkan penyakit Covid-19.
Hasil kajian menunjukkan bahawa risiko penularan Covid-19 melalui air kolam renang adalah sangat rendah.
Penyelidikan itu dianjurkan oleh sekolah renang Swim England dan Water Babies dengan sokongan daripada Royal Life Saving Society.
“Kami melakukan eksperimen ini di makmal pembendungan tinggi kami di London.Dalam persekitaran selamat, kami dapat mengukur kemampuan virus menjangkiti sel yang merupakan langkah pertama penularannya.
“Kami mencampurkan virus dengan air kolam renang yang dikirimkan oleh Water Babies dan dapat membuktikan virus itu tidak bertahan di dalam air kolam renang dan berhenti menular,” jelas penulis kajian, Profesor Wendy Barclay dari Kolej Imperial London.
Tambah Barclay, hasil kajian ditambah dengan faktor pencairan virus yang mungkin termasuk ke kolam renang daripada orang yang dijangkiti menunjukkan kemungkinan jangkitan Covid-19 di ruang tersebut boleh diabaikan.
“Penemuan ini menunjukkan risiko penularan dari air kolam renang adalah rendah,” kata Ketua Eksekutif Swim England, Jane Nickerson. – Agensi