WASHINGTON – Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) akan menangguhkan penggunaan vaksin Covid-19 Johnson & Johnson (J&J) berikutan kebimbangan darah beku manakala pengunaan vaksin itu di Eropah juga akan ditunda.
Daripada hampir tujuh juta rakyat AS yang menerima vaksin dos tunggal itu setakat ini, enam wanita berumur antara 18 tahun hingga 48 tahun mengalami darah beku di dalam otak mereka, kata beberapa pegawai.
Seorang daripada mereka meninggal dunia dan seorang lagi berada dalam keadaan kritikal.
Saintis Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA), Peter Marks berkata, masalah yang jarang berlaku itu mungkin dicetuskan oleh sistem imunisasi badan terhadap vaksin tersebut seperti yang berlaku pada beratus-ratus penerima suntikan vaksin AstraZeneca di Eropah,
“Kami membuat keputusan untuk menangguhkan secara proaktif penggunaan vaksin kami di Eropah,” kata J&J.
Pihak berkuasa AS sedang melakukan siasatan yang akan menyumbang kepada tindakan sukar seperti mengehadkan penggunaan vaksin J&J kepada warga emas.
Orang ramai yang menerima suntikan vaksin J&J dalam tempoh tiga minggu lalu diminta melaporkan kepada doktor jika mereka mengalami sakit kepala teruk, sakit pada bahagian perut, sakit kaki atau sukar bernafas.
Dalam perkembangan berkaitan, White House yakin sekiranya cadangan tersebut dilaksanakan, ia tidak akan mendatangkan impak signifikan ke atas kempen imunisasi di AS di mana hampir seluruh orang dewasa kini menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19.
Sementara itu di Jerman, penduduk berusia kurang 60 tahun yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca-Oxford akan menerima vaksin jenama lain untuk dos kedua, kata pihak berkuasa kesihatan negeri dan persekutuan.
Jerman menggantung agihan vaksin dua dos tersebut kepada orang ramai yang berusia kurang 60 tahun berikutan kebimbangan risiko berlakunya pembekuan darah. – AFP