fbpx

Guan Eng tuntut RM21 juta daripada Raja Petra

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guan Eng ketika ditemui selepas prosiding kes samannya terhadap Raja Petra di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menuntut ganti rugi am sebanyak RM20 juta dalam kes saman fitnahnya terhadap penulis blog Raja Petra Raja Kamarudin berhubung projek terowong bawah laut Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Guan Eng, 61, selaku plaintif ketika memberi keterangan pada prosiding taksiran ganti rugi di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd. Arief Emran Arifin berkata sebanyak 20 artikel telah disiarkan dalam kedua-dua versi bahasa Inggeris dan Melayu oleh portal Malaysia Today milik Raja Petra bermula Februari 2019.

“Saya menuntut ganti rugi RM1 juta bagi setiap artikel. Siri artikel itu telah dikongsi oleh pengguna internet dan artikel-artikel itu masih belum diturunkan (padam) lagi oleh defendan (Raja Petra),” katanya.

Guan Eng berkata, semasa artikel-artikel itu diterbitkan, beliau memegang jawatan penting sebagai Menteri Kewangan dan pemfitnahan itu adalah khusus kepada khidmatnya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

“Nama baik dan reputasi saya tercemar secara teruk, lagi pun defendan menyatakan sumber beliau adalah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Ini telah merosakkan kewibawaan dan karakter saya,” ujarnya lagi.

Selain menuntut ganti rugi am RM20 juta Guan Eng turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM500,000.

Sementara itu, peguam Simon Murali yang mewakili Guan Eng dalam hujahannya berkata jumlah RM1 juta bagi setiap satu artikel adalah satu jumlah yang munasabah.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Mei ini bagi keputusan taksiran ganti rugi menerusi aplikasi Zoom manakala 26 April ini untuk plaintif memfailkan hujahan tambahan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI