PETALING JAYA – Sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai tumpas selepas penahanan dua lelaki warga tempatan di sekitar Taman Oversea Union dekat sini semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah hari itu telah dijalankan sepasukan Pegawai dan Anggota dari Cawangan Risik Briged Tengah Pasukan Gerakan Am Cheras.
Komander Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tengah, Senior Asisten Komisioner, Muhammad Abdul Halim berkata, dua lelaki tempatan yang ditahan berkenaan berusia 47 dan 69 tahun.
“Kita telah merampas 906 kotak arak pelbagai jenama membabitkan 20,194 tin dan botol yang mempunyai kandungan alkohol antara 4 hingga 43 peratus bernilai kira-kira RM750,939.
“Kita percaya serbuan ini telah berjaya melumpuhkan satu sindiket pengedaran minuman keras tidak bercukai disekitar daerah Lembah Klang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, polis menyeru masyarakat agar dapat memberikan kerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang.
Kes disiasat dibawah Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967. – K! ONLINE