PETALING JAYA – Pelakon dan juga pengacara Roslan Shah meluahkan rasa kesal dengan sikap segelintir umat Islam di Singapura kerana tanpa rasa bersalah tidak berpuasa di tempat awam pada bulan Ramadan.
Menerusi satu hantaran yang dimuat naik dalam Instagramnya, selebriti kelahiran Kota Singa itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku ketika dia keluar untuk membeli juadah berbuka puasa semalam.
“Maaf kata ya, puasa pertama Cik Lan (panggilannya) jalan di Joo Chiat Complex untuk membeli juadah berbuka puasa. Depan mata Cik Lan ternampak umat Islam makan dengan selamba.
“Nampak juga umat Islam dengan wheel chair (kerusi roda) merokok depan orang awam yang sedang lalu-lalang. Memang betul, jawapan mereka akan cakap ‘kubur masing-masing’.
“Tapi pada bulan puasa yang mulia ini, kena menghormati orang yang berpuasa juga,” katanya.
Ujarnya lagi, individu yang tidak berpuasa sewajarnya harus lebih peka dan sensitif dengan masyarakat, bukannya berbangga kerana tidak berpuasa.
“Nak makan atau merokok kenalah sorok-sorok dan jangan bagi nampak pada orang awam. Apabila saya tengok, dengan rasa bangga merokok dan makan dengan selambanya.
“Bulan Ramadan setahun sekali bukannya setiap hari. Saya pun tak sempurna mana pun. Kalau saya tidak berpuasa saya akan makan di bilik sendirian sahaja sebab ahli keluarga berpuasa. Saya kena menghormati orang yang berpuasa,” kata selebriti yang mendapat gelaran Sudirman Singapura itu.
Dalam hantaran berkenaan juga, Roslan turut memohon maaf kepada sesiapa yang terasa dengan teguran tersebut.
“Mohon maaf kalau ada yang terasa. Saya tulis secara umum kerana nampak di depan mata. Kalau di Malaysia dan kena saman dan naik van jenazah, bawa jalan-jalan lagi.
“Orang Islam di sana (Malaysia) akan tahu yang naik van jenazah adalah orang Islam yang kena tangkap kerana tidak berpuasa,” tulisnya.
Sejak dunia dilanda pandemik Covid-19, Roslan yang sebelum ini kerap berulang-alik antara Malaysia-Singapura atas urusan kerja telah beralih ke bidang perniagaan makanan dengan mengusahakan gerai menjual pelbagai aneka rojak di Kedai Kopi Al-Ikhlas, 60 Lorong 101 Changi, Singapura sejak Julai 2020. -K! ONLINE