PETALING JAYA – Berikutan jadual kerja yang padat sepanjang bulan Ramadan, pelakon Mira Filzah reda tidak banyak masa untuk berbuka dan bersahur dengan suaminya, Wan Emir Astar.
Perkara tersebut dikongsi Mira atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, 28, dalam satu hantaran Instagram hari ini yang memberitahu aturan jadual kerja berubah susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Tahun pertama berpuasa sebagai seorang isteri. Sebelum kahwin, selaku fikir macam-macam perlu buat untuk bersahur dan berbuka bila sudah berkeluarga. Tiada lagi makanan dihidang oleh mak.
“Tetapi akhirnya, jadual pengambaran dianjak sehingga ke akhir Ramadan disebabkan PKP. Mungkin tahun ini boleh kira berapa kali sahaja dapat bersahur dan berbuka dengan Emir dan keluarga,” tulisnya dalam entri tersebut.
Tidak meratapi perkara tersebut, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu reda serta menganggap tugasan tersebut ialah satu tanggungjawab.
“Saya (outstation) kerja luar daerah pula. Tidak mengapalah, kerja juga satu tanggungjawab dan ibadah dengan niat yang betul.
“Maafkan saya sayang, terima kasih sebab memahami. Semoga ibadah puasa kita semua diterima Allah SWT,” tulisnya dalam entri tersebut.
Untuk rekod, Mira mendirikan rumah tangga bersama Emir pada 3 September tahun lalu di Pusat Konvensyen Sime Darby, Bukit Kiara, Kuala Lumpur. – K! ONLINE