Oleh AINAL MARHATON ABD. GHANI
ROMPIN – Tidak pernah patah semangat dan sanggup mengharungi apa sahaja ujian dan cabaran yang mendatang antara sebab pengusaha rempah dari Kampung Teluk Lipat, Endau ini mampu bertahan sehingga hari ini.
Memulakan perniagaan menjual pakaian pada 1988 dengan modal RM500 hasil pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pengusaha berkenaan, Gayah Ali (gambar), 63, yang kini mengusahakan produk rempah sudah mampu tersenyum lebar apabila perniagaannya itu memberi pulangan lumayan.
Menurutnya, kemiskinan keluarga menyebabkan dia sentiasa berikhtiar dan berusaha untuk mengubah nasib dan masa depan keluarganya yang diibaratkan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang ketika itu.
“Hidup saya sebelum ini sangat susah sehingga anak nak makan aiskrim pun saya tidak mampu untuk beli.
“Selepas membuat pinjaman AIM pun, saya berdepan masalah pula untuk membayar balik pinjaman setiap minggu dan pernah terlintas untuk berhenti daripada kumpulan sahabat ini,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, katanya, sokongan moral dan kata-kata semangat daripada pegawai dan sahabat AIM menjadi pembakar semangat untuknya terus bertahan dan berdepan cemuhan dan sindiran masyarakat sekeliling yang tidak memahami masalah yang dihadapinya.
“Saya dan suami Parjo Suratman, 69, sentiasa mencari jalan untuk keluar daripada kesusahan hidup kerana kami ada empat anak yang sedang membesar dan banyak keperluan perlu disediakan.
“Alhamdulillah, berkat sabar dan sokongan keluarga saya beralih pula daripada berniaga ikan kepada pembuatan rempah pada 2009 dengan membuat pinjaman modal AIM RM800,” katanya.
Gayah berkata, AIM umpama ‘tulang belakang’ yang menjadi pemangkin untuknya terus aktif dalam perniagaan.
Sehingga kini, Gayah yang juga pemilik syarikat Gayah Enterprise sudah membuat pinjaman AIM hampir RM500,000 untuk dijadikan modal mengembangkan perniagaannya.
“Tanpa AIM saya tidak tahu di mana saya berada hari ini. Semua pinjaman saya guna buat tambah modal berniaga termasuk membeli lori ketika berniaga ikan dan tidak culas membayar setiap minggu.
“Alhamdulillah, perjalananan perniagaan saya berjalan lancar walau ada beberapa tahun itu saya berdepan dengan pelbagai masalah yang sukar untuk diselesaikan,” katanya.
Gayah kini boleh berbangga kerana produk yang dihasilkan laris terjual di seluruh negara dan mempunyai beberapa wakil jualan bagi memudahkan produk dipasarkan juga pernah dipasarkan ke luar negara hasil bantuan rakannya.
Menurut Gayah, pada awalnya dia hanya memasarkan tiga produk sahaja iaitu rempah sup soto, ikan bakar dan gulai kawah sebelum menambah produk otak-otak dan sata ikan tenggiri, popia ikan dan sambal hitam Pahang.
Mereka yang ingin mendapatkan rempah buatan Gayah boleh menghubunginya di nombor 012-7363310.