fbpx

Che Amah penternak jaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Amah bersama kambing yang diusahakannya di kawasan belakang rumah.

ARAU – Bermula dengan modal sebanyak RM2,000 daripada pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) pada 2004, Che Amah Che Mid, 52, kini sudah bergelar usahawan berjaya dengan pendapatan mencecah belasan ribu ringgit sebulan hasil daripada aktiviti ternakan yang diusahakan di belakang rumah.

Sehingga kini, Che Amah dari Kampung Kubang Batang di sini sudah menternak lebih 180 ekor kambing, enam ekor lembu dan 330 ternakan lain seperti ayam kampung, belanda dan itik.

Malah, pada satu ketika sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mampu menjana pendapatan sehingga RM30,000 hasil jualan ternakan tersebut.

Kongsi ibu kepada tiga orang anak itu, pada peringkat awal, dia hanya belajar berniaga secara jualan langsung berbekalkan modal pinjaman sebagai sahabat AIM sebelum menceburi dalam bidang ternakan pada 2008.

“Pada mulanya, saya hanya menternak kira-kira 50 ekor lembu di belakang rumah yang meliputi kawasan kebun getah seluas 1.12 hektar. Kemudian pada 2015, kami berjinak-jinak untuk menternak kambing pula termasuk baka biri-biri dengan permulaan sebanyak enam ekor sahaja dan sehingga kini haiwan itu sudah menjadi ternakan utama.

“Kami memilih kambing sebagai ternakan utama kerana memelihara haiwan ternakan tersebut tidak memerlukan ruang yang luas berbanding kawasan ternakan lembu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kubang Batang di sini baru-baru ini.

Tambahnya, pasaran haiwan ternakan itu adalah sekitar negeri ini selain terdapat juga pelanggan dari Kedah dan Pulau Pinang khususnya pada musim Hari Raya Aidiladha.

“Kami memang menjual ternakan ini kepada pelanggan untuk tujuan kenduri dan sebagainya. Tapi pada tiga bulan pertama dalam tempoh PKP tahun lalu, perniagaan memang agak terjejas sehingga kami mengambil keputusan untuk sembelih dan jual secara penghantaran kepada pelanggan.

“Namun selepas keadaan semakin baik, kami kembali fokus dengan menjual ternakan hidup walaupun jumlahnya agak berkurangan berbanding sebelum penularan pandemik Covid-19,” ujarnya.

Sementara itu, Che Amah memberitahu, AIM banyak membantu dalam mengembangkan perniagaan dengan bermula daripada pinjaman sebanyak RM2,000 pada peringkat awal perniagaan sehingga RM30,000.

Katanya lagi, dua orang anaknya yang dapat menyambung pelajaran ke Kolej Universiti Bestari di Setiu, Terangganu juga disebabkan jalinan kerjasama antara AIM dan institusi itu dalam memberi peluang kepada anak-anak Sahabat AIM bagi melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

“Lebih membanggakan lagi, anak saya telah mendapat anugerah dekan menjadikan pinjaman pendidikan tidak perlu dibayar kerana ditukar kepada biasiswa,” katanya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan sama ada ternakan hidup atau daging ternakan, bolehlah menghubungi Che Amah di
018-266 4671.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI