LINGKUNGAN kehidupan kita tidak jauh berbeza berbanding setahun yang lalu. Cerita pandemik Covid-19 dengan angka kes positif yang turun naik masih menjadi tajuk utama perbualan masyarakat.
Bezanya pada tahun lalu, kira-kira 85 peratus daripada keseluruhan rakyat Malaysia banyak menghabiskan ibadah puasa mereka di rumah berbanding di tempat kerja. Ini susulan pelbagai sekatan dan arahan oleh kerajaan bagi membendung penularan Covid-19.
Pembukaan bazar Ramadan ketika itu dihadkan, solat tarawih secara berjemaah di surau dan masjid tidak dibenarkan, manakala aktiviti keagamaan bagi menyemarakkan Ramadan turut ditangguhkan.
Ketika itu, saluran media sosial seperti program masakan oleh YouTuber suami isteri, Sugu Pavithra serta kumpulan Facebook dikenali Masak Apa Tak Jadi Hari Ini menjadi ‘santapan’ wajib kalangan netizen yang duduk di rumah.
Namun di sisi yang lain, keberadaan selama 24 jam di rumah, tanpa melakukan sebarang aktiviti luar selain kewajiban untuk tidak makan dan minum telah mencetuskan ‘Kluster Tidur’ dalam kalangan masyarakat.
Kluster tidur ini biasanya merujuk kepada individu yang menghabiskan hampir tiga perempat atau sekurang-kurangnya 10 jam daripada waktu puasanya dengan aktiviti tidur.
Pada tahun ini, ketika kerajaan kembali membuka pelbagai sektor perniagaan yang membolehkan rakyat keluar mencari rezeki, selain sesi persekolahan yang berjalan seperti biasa, maka jangkaan untuk melihat kluster tidur ini berkurangan mungkin boleh berlaku.
Jika wujud sekalipun, ia mungkin disebabkan keletihan sehingga membuatkan seseorang itu tertidur ketika berada di tempat kerja atau di sesuatu majlis.
Ironinya, tidur sementara atau tertidur bukanlah satu bentuk jenayah. Ia juga tidak boleh dianggap sebagai satu kesalahan atau alasan untuk seseorang itu dikenakan tindakan.
Di Jepun, ada satu perkataan khas yang merujuk kepada orang yang tertidur di tempat kerja iaitu inemuri. Budaya inemuri ini bukanlah bersifat negatif dan tidak dianggap sebagai satu masalah.
Orang Jepun melihat inemuri ini sebagai kesan akibat bekerja terlalu gigih yang mana memerlukan seseorang itu diberi ruang sementara untuk berehat sebelum kembali meneruskan tugasan masing-masing.
Di pihak kita, peluang yang diberikan untuk bekerja di bulan Ramadan pada tahun ini perlu digunakan sepenuhnya. Soal kita tertidur, terlelap atau sebagainya, kita nilaikan sendiri atas kapasiti kita sebagai pekerja yang dibayar gaji.
Apa yang pasti, kita mungkin telah kehilangan separuh nikmat bersama keluarga untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama seperti tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, kita perlu terus bersyukur kerana masih diberi ruang untuk mencari rezeki pada ketika ramai di luar sana masih menunggu peluang.
Kepada para pencari rezeki dan peniaga bazar Ramadan, selamat bekerja dan semoga dilimpahkan rezeki yang halal.
Dan kepada seluruh umat Islam, selamat menjalani ibadah puasa dan semoga beroleh keberkatan dari-Nya.