PETALING JAYA – Pelakon Eyra Hazali meluahkan rasa gembira apabila dapat menghadiahkan ibu bapanya, Hazali Ramli dan Qhuzie Mohd. Johari sebuah kereta baharu.
Menerusi satu perkongsian yang dimuat naik dalam Instagramnya, Eyra atau nama sebenarnya Hazirah Qasdina Hazali, 22, memberitahu, hadiah berupa sebuah kereta Proton X70 itu adalah sebagai tanda terima kasih atas pengorbanan orang tuanya selama ini.
“Alhamdulillah syukur. Selalu tertanya-tanya bila agaknya dapat belikan mak dan ayah kereta yang lebih selesa.
“Siapa sangka rezeki melimpah ruah pada awal tahun. Selepas tunggu dari bulan Februari, tepat pada masanya alhamdulillah dapat serahkan sendiri dekat ibu bapa saya,” ujar Eyra.
Menurut pelakon drama Mr.Grey itu lagi, hadiah kereta yang diberikan itu tidaklah sebesar jasa kedua-dua orang tuanya membesarkan dia dan adik-beradik yang lain.
“Hadiah ini tidak sebesar jasa mak dan ayah untuk besarkan kami tujuh beradik. Selagi ada kudrat,saya akan buat apa sahaja untuk senangkan mak dan ayah,” tulisnya.
Dalam hantaran itu juga, Eyra yang juga isteri kepada penjaga gol kelab bola sepak, Johor Darul Ta’azim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli juga mendedahkan bahawa suaminya turut mengambil sebuah kereta baharu jenis Vellfire.
Sekadar info, Eyra dan Haziq mendirikan rumah tangga pada 1 November 2019 dan dikurniakan seirang cahaya mata lelaki, Muhammad Hayder Qhalish pada 14 Ogos 2020. -K! ONLINE