fbpx

ESDK Leora julang kejuaraan MLBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN ESDK Leora meraih kemenangan dramatik untuk membawa pulang hadiah utama RM15,000 pada Kejohanan MES edisi sulung kelmarin.

SIKAP enggan mengibarkan bendera putih terlalu awal mem­bo­lehkan pasukan ESDK Leora me­raih kemenangan dramatik untuk muncul juara Kejohanan Malaysia Esports Series (MES) 2021 kategori Mobile Legends Bang Bang (MLBB) pada aksi ­final kelmarin.

Pada saingan tersebut, ESDK Leora berjaya membuktikan ke­upayaan sebenar untuk menewaskan pasukan pilihan, Boss X Kroni (BXK) meskipun ke­tinggalan 0-2 untuk menang 3-2.

Jurulatih ESDK Leora, Muhd. Amirul Mohd. Nor Hazalin ber­kata, keputusan yang diraih cukup membanggakan kerana barisan pemain sendiri tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih hadiah utama RM15,000 pada Kejohanan MES edisi sulung itu.

“Saya sangat gembira apabila berjaya meraih kemenangan yang boleh dianggap agak dramatik apabila menewaskan BXK. Secara jujur, kami bukan pasukan pilihan seperti BXK dan MAB ­Esports.

“Namun, semua pemain membuktikan keupayaan sebenar selain perubahan formasi yang dilakukan berjaya memastikan usaha dan kerja keras pasukan terbalas kali ini.

“Apa yang pasti, kemenangan ini memberi keyakinan tambahan buat pasukan dalam usaha melangkah ke Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL) pada masa depan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Chan kepada Kosmo! semalam.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Kejohanan MES, Muhd. Aimanulhaq Zaha­rudin me­ngakui sangat berpuas hati de­ngan penganjuran edisi per­tama kejohanan e-Sukan berskala­ besar ini yang bermula sejak 26 Mac lepas.

“Sepanjang tiga minggu pe­nganjuran, tiada sebarang isu timbul dan saya cukup berpuas hati. Malah, jumlah keseluruhan penstriman langsung turut mencatatkan angka memberangsangkan dengan lebih 200,000 ton­tonan.

“Ia adalah perkembangan cukup positif selain memberi motivasi buat kami untuk merencanakan penganjuran lebih meriah­ pada edisi akan datang.

“Sebagai contoh, harapan utama­ kami sudah tentulah untuk menganjurkan kejohanan secara offline tetapi segalanya bergantung dengan situasi pandemik Covid-19,” katanya.

Saingan MES kali telah me­ngumpulkan hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM100,000 dengan RM 20,000 bagi FIFA, RM 40,000 bagi MLBB dan RM 40,000 juga bagi permainan PUBG.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI