KANGAR – Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis sedang menyiasat sama ada pegawai polis berpangkat inspektor yang dikaitkan dengan perkahwinannya bersama pelakon, Serina Redzuawan melakukan rentas negara ke Thailand untuk akad nikah atau tidak.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan pegawai dari Bahagian D8 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) tersebut menggunakan perkhidmatan warga dari negara jiran yang masuk ke negara ini bagi tujuan menikahkan mereka.
Katanya, pihak polis sudah membuka kertas siastan tatatertib terhadap pegawai tersebut sejak isteri pertama membuat laporan mengenai perkara terbabit kepada JIPS Perak tidak lama sebelum mereka bercerai.
“Bila kita dapat tahu pegawai itu berkahwin di luar negeri Perlis, kita terus buka kertas siasatan. Kita tidak tahu sama ada orang dari sana (Thailand) ke sini atau mereka yang pergi ke sana. Tapi rasa macam ambil orang Siam datang ke Perlis.
“Apa-apa pun kita masih menyiasat, sama ada mereka kahwin dengan betul, kahwin dekat mana dan siapa yang terlibat dalam proses pernikahan tersebut,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mengulas mengenai tindakan yang boleh diambil kepada pegawai terbabit jika didapati bersalah, Surina berkata, selepas siasatan selesai dan bila ada kesalahan, pihaknya akan melanjutkan kertas siasatan tersebut kepada JIPS Bukit Aman.
“Kes ini melibatkan seorang pegawai, jadi yang ada kuasa untuk ambil tindakan adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador atau Timbalannya, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani,” ujarnya.
Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid mendedahkan pegawai berkenaan tidak bertugas di kontinjennya sebaliknya telah bertukar ke IPK Perlis sejak 2019.
Ujarnya, tindakan tatatertib boleh diambil ke atas pegawai terbabit sekiranya siasatan mendapati dia tidak memohon kebenaran berkahwin dua dari jabatan.
Terdahulu, sebuah portal melaporkan, seorang wanita mendakwa dia masih isteri kepada pegawai polis terbabit semasa bekas suaminya melangsungkan perkahwinan dengan Serina pada Februari lalu.