KOTA BHARU – Harapan menggunung yang diimpikan ribuan peniaga kecil-kecilan di negeri ini untuk menambah pendapatan pada bulan Ramadan hanya tinggal ‘mimpi kosong’ apabila kesemua aktiviti bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri dibatalkan saat-saat akhir.
Keputusan pembatalan aktiviti perniagaan itu dibuat oleh kerajaan negeri kelmarin, hanya dua hari sebelum umat Islam di di seluruh negara menyambut kehadiran Ramadan.
Kesan daripada pembatalan itu menyebabkan ribuan peniaga kecil di bazar Ramadan di 11 jajahan di negeri itu terpaksa menanggung kerugian selain kehilangan sumber pendapatan.
Lebih menyedihkan, ada dalam kalangan peniaga yang terpaksa bergolok-gadai memajakkan emas selain menjual kereta milik mereka semata-mata untuk mendapatkan modal bagi tujuan berniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri.
Sehingga semalam, kerajaan negeri masih belum mengumumkan sebarang tindakan susulan atau cadangan penyelesaian bagi membantu meringankan beban dan kerugian para peniaga.
Tinjauan Kosmo! di salah satu tapak bazar popular di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini semalam mendapati, rata-rata peniaga melahirkan kekecewaan dan merayu agar kerajaan negeri mempertimbangkan semula pembatalan itu.
Selain terkesan dengan keputusan oleh kerajaan negeri, lebih 10 peniaga yang ditemui turut mendakwa mengalami kerugian apabila telah berbelanja besar untuk membeli barang-barang mentah selain membayar sewa tapak.
Seorang peniaga nasi kerabu dan ayam berempah, Latifah Mohd. Nor, 39, berkata, dia terpaksa menggadai barang kemas milik dua anak dan adiknya yang berjumlah RM5,000 semata-mata untuk dijadikan modal berniaga.
“Pengumuman pembatalan bazar Ramadan dibuat pada saat akhir menyebabkan kami terkejut dan tidak sempat memikirkan alternatif lain. Saya jadi buntu, tertekan dan sedih.
“Saya merayu pembatalan itu ditarik balik. Kasihani kami kerana ini (bazar) satu-satu punca rezeki kami sepanjang Ramadan ini,” katanya.
Peniaga air tuak dan kelapa, Wan Mohamad Zamri Wan Mat Ali, 31, pula berkata, dia telah berhabis hingga mencecah RM10,000 untuk menyediakan segala keperluan berniaga pada Ramadan tahun ini.
“Saya telah sediakan 1,000 biji kelapa dan 500 kilogram air tuak dalam peti sejuk beku dan hanya menunggu masa untuk dijual. Buntu saya memikirkan cara untuk pastikan bekalan itu habis dijual sebelum ia rosak,” katanya.
Sementara itu, Nik Nor Syamsuria Mat Jusoh, 46 yang berniaga air kacang soya pula mendedahkan, dia menggunakan wang hasil jualan kereta Perodua Myvi terpakai miliknya yang berjumlah RM5,000 sebagai modal berniaga.
“Saya sudah belanjakan wang itu bagi membeli bekalan, kelengkapan perniagaan dan kos sewa tapak.
“Kami semua berharap kerajaan negeri boleh fikirkan kaedah untuk membantu kami seperti membenarkan bazar Ramadan berskala kecil dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat,” katanya.
Situasi sama turut dialami peniaga kuih, Abdul Rahmah Abdul Aziz, 32, dan adik perempuannya, Nurul Afifah, 31, yang telah membuat persiapan terakhir untuk jualan kuih buah tanjung.
“Kami tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika ini kerana bahan mentah telah dibeli dan banyak yang sudah diproses, sedangkan kami tidak boleh berniaga,” jelasnya yang membuka gerai di bazar Ramadan Kampung Desa Rahmat di sini.
Kosmo! semalam melaporkan, Kerajaan Negeri Kelantan membuat keputusan membatalkan semua bazar Ramadan dan bazar Aildilfitri di seluruh negeri pada tahun ini berikutan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa hari lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Dr. Izani Husin memaklumkan perkara berkenaan menerusi status di akaun Facebooknya kelmarin.