fbpx

Terpaku anak dirempuh depan mata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perodua Kancil yang merempuh seorang kanak-kanak di Kampung Wa, Jerangau malam kelmarin.

DUNGUN – Keceriaan seorang pemandu lori membawa keluarganya makan malam sempena meraikan Ramadan yang bakal tiba berakhir dengan tragedi apabila anak bongsunya maut dirempuh kereta di hadapan sebuah restoran di Kampung Wa, Jera­ngau, dekat sini kelmarin.

Tambah menghibakan, Ahmad Embong, 61, menyaksikan sendiri Mu’thal Assalami, 3, dilanggar dan tercampak lebih 5 meter di depan mata.

Menurutnya, dia membawa isteri dan lima daripada tujuh anaknya termasuk mangsa untuk makan malam di sebuah restoran yang terletak kira-kira 10 ki­lometer dari kediaman mereka di Felda Jerangau, dekat sini.

“Kami keluar makan bersama-sama untuk meraikan ketibaan Ramadan. Saya sendiri memim­pin tangan Mu’thal Assalami ke restoran, namun dia tiba-tiba melepaskan genggaman tangan sewaktu saya sedang melakukan pemeriksaan suhu badan.

“Dia berlari menuju ke arah ibu dan adik-beradiknya yang masih berada di seberang jalan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di pekarangan Rumah Mayat Hospital Dungun, di sini semalam.

Mu’thal Assalami

Ahmad berkata, dia cuba mengejar dan menjerit memang­gil anak bongsunya tetapi tidak diendahkan sebelum budak lelaki itu tiba-tiba dirempuh sebuah kereta Perodua Kancil dipandu wanita berusia 26 tahun.

Impak pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 5 meter ke tengah jalan dengan kepala­nya berlumuran darah.

“Saya bergegas ke klinik berhampiran tetapi pegawai perubatan mengesahkan anak bongsu saya sudah tiada.

“Masih terngiang-ngiang aksinya mengucapkan good bye (selamat tinggal) kepada sebuah jentolak sewaktu membawanya bersiar-siar dengan motosikal pada petang kejadian. Pelik juga kerana biasanya dia amat teruja dengan jentera itu,” katanya.

Jenazah Mu’thal Assalami selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jerangau dekat sini pukul 7.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI