AUGUSTA, Amerika Syarikat (AS) – Bintang sensasi Jepun, Hideki Matsuyama enggan dilabel sebagai pemain golf terbaik sepanjang zaman bagi Negara Matahari Terbit itu selepas mencipta sejarah meraih gelaran major pertamanya pada Kejohanan Masters awal pagi semalam.
Sebagai rekod, Matsuyama berjaya menyarung jaket hijau simbolik Masters sekali gus membawa pulang hadiah utama AS$2.07 juta (RM8.56 juta) selepas memenangi kejohanan dengan mengatasi Will Zalatoris di pusingan akhir.
Matsuyama menganggap masih terlalu awal untuk diberi pengiktirafan sebagai atlet terbaik dari Jepun, namun jika dikira rekod melalui kejuaraan major pertama, kejayaan itu dilakar penuh dramatik awal pagi semalam.
“Saya tidak mahu dianggap sebagai pemain golf terbaik sepanjang zaman buat Jepun. Saya lebih berminat menjadi inspirasi buat rakyat di negara kelahiran saya untuk mencuba sukan golf pada masa akan datang.
“Ini kerana ketika saya kecil, tiada atlet golf tempatan yang saya boleh jadikan sebagai idola, sebaliknya lebih meminati pemain-pemain besbol Jepun seperti Yu Darvish, Shohei Ohtani dan Kenta Maeda,” katanya.
Dalam perkembangan sama, pemain berusia 29 tahun itu mengakui, tidak meletakkan harapan tinggi untuk menjuarai Kejuaraan Masters sebelum tahap keyakinannya semakin memuncak selepas mengharungi pusingan pertama.
“Meskipun tidak meletakkan sebarang harapan, saya tetap memberikan aksi meyakinkan dari pusingan pertama. Ia memberi motivasi tambahan untuk mengekalkan rentak konsisten,” jelasnya. – AGENSI