LONDON – Pengurus Tottenham Hotspur, Jose Mourinho tampil mempertahankan Son Heung-min selepas penyerangnya itu menjadi kecaman pengendali Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer.
Solskjaer menyelar tindakan Heung-min yang didakwa berlakon dengan memegang muka selepas terkena tangan Scott McTominay sehingga pengadil membatalkan jaringan awal Edinson Cavani.
Bagaimanapun, ia masih tidak membantu Spurs apabila tewas 1-3 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur itu malam kelmarin.
“Saya sangat terkejut dengan komen yang diberikan Ole (Solskjaer) terhadap Son (Heung-min). Seorang jurulatih yang juga seorang ayah tidak boleh berkata sedemikian.
“Son amat bertuah kerana bapanya lebih baik berbanding Ole. Saya juga seorang ayah, jadi memang tugas saya untuk menyediakan makanan kepada anak-anak saya,” kata Mourinho.
Terdahulu, Solskjaer menegaskan, beliau mungkin tidak akan memberikan Heung-min sebarang makanan jika pemain Korea Selatan itu adalah anaknya disebabkan insiden tersebut.
Begitupun, United tetap pulang dengan tiga mata hasil jaringan Fred, Cavani dan Mason Greenwood, manakala gol tunggal Spurs dijaringkan oleh Heung-Min.
Peluang Spurs untuk muncul empat pasukan teratas semakin sukar apabila menduduki tangga ketujuh dengan baki tujuh perlawanan sahaja lagi. – AGENSI