fbpx

Red Devils bangkit ‘malukan’ Spurs

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA pemain United meraikan kejayaan mereka menewaskan Spurs pada aksi EPL malam kelmarin. – AFP

LONDON – Manchester United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk membenam ­Tottenham Hotspur 3-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Tottenham Hotspur malam kelmarin.

Spurs membuka tirai jari­ngan menerusi Son Heung-min pada minit ke-40 sebelum ­United bangkit dengan tiga gol hasil jaringan Fred, Edinson Cavani dan Mason Greenwood dalam separuh masa kedua.

Ia secara tidak langsung membuktikan skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu berkemampuan untuk menewaskan Spurs walaupun gol awal daripada Cavani dibatalkan oleh pengadil perlawanan.

Kapten The Red Devils, ­Harry Maguire berkata, meskipun mencatat kemenangan, namun mereka sepatutnya menampilkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan itu.

“Pada 30 minit pertama, kami kurang agresif dan gagal untuk menandingi kepantasan yang dimiliki pasukan lawan. Secara jujur, bola sepak di Eropah amat sukar terutama pada awal permainan.

“Bagaimanapun, kami mula bermain dengan lebih selesa pada separuh masa kedua dan berjaya mendapatkan keputusan yang dimahukan. Selepas ini, saya harap kami boleh bermula dengan lebih agresif,” katanya.

Walaupun United terkenal dengan kemampuan untuk bangkit daripada ketinggalan, namun Maguire menegaskan, mereka tidak boleh terlalu kerap membenarkan pasukan lawan melakukan jaringan terlebih dahulu.

“Saya tahu amat menarik untuk menyaksikan pasukan bangkit daripada ketinggalan tetapi kami tidak boleh terus melakukannya. Kadang-kadang ia boleh membawa padah kepada diri sendiri,” ujarnya.

Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan United di tangga kedua dengan 63 mata selepas 31 perlawanan dan terus memberi tekanan kepada pendahulu liga, Manchester City.

Kejayaan itu juga menyaksikan The Red Devils berjaya menebus kekecewaan tewas 1-6 kepada Spurs sewaktu pusi­ngan pertama liga pada Oktober tahun lalu.

United akan berdepan Granada untuk suku akhir kedua Liga Europa, Jumaat ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI