PETALING JAYA – Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad mengumumkan umat Islam di Malaysia akan mula berpuasa esok.
Syed Danial berkata, tarikh permulaan puasa bagi negeri-negeri di seluruh Malaysia ditetapkan pada hari itu menurut perintah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selepas diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.
Terdahulu, tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa umat Islam seluruh Malaysia adalah pada hari ini, 12 April 2021 bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja dalam kenyataan pada Jumaat menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara. – K! ONLINE