fbpx

Didik bahaya rasuah dari sekolah rendah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Alexander (depan tiga dari kiri) dan Hussamuddin (depan empat dari kiri) melancarkan Kempen Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah di Seksyen 15 Shah Alam, hari ini. - FOTO: ABDUL RAZAK IDRIS

SHAH ALAM – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) memperkenalkan program Wira Anti Rasuah (WAR) dalam mendidik bahaya rasuah kepada pelajar sekolah seawal usia tujuh tahun.

Penolong Kanan Pesuruhjaya SPRM, Alexander S.Kunghi berkata, program itu antara fokus dalam Pelan Anti-Rasuah Nasional yang dilancarkan pada tahun 2019 dalam memberi fokus pencegahan rasuah dari peringkat sekolah rendah hingga ke dunia pekerjaan.

“Kita mendidik anak-anak kita dengan nilai integriti bermula dari sekolah rendah melalui WAR.

“Sebagai contoh, kita meletakkan satu tabung untuk anak-anak kita membeli makanan di sekolah tanpa penjual. Kita membentuk nilai integriti sejak mereka masih kecil agar mereka merasakan diberi kepercayaan untuk membeli tanpa melalui penjual,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengenalan Gabungan Rasuah Busters Dan Pelancaran Malaysia 100 Juta Langkah Menentang Rasuah di Wisma Karangkraf Seksyen 15 hari ini.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, ceramah kesedaran anti rasuah kemudiannya diberikan kepada pelajar apabila berada di sekolah menengah termasuk mewujudkan Angkatan Mahasiswa Anti Rasuah (AMAR) di institut pengajian tinggi ( IPT).

“Bagi dunia pekerjaan sektor awam Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diperkenalkan bagi mewujudkan nilai integriti yang tinggi dalam penjawat awam.

“Untuk sektor swasta pula kita ada Seksyen 17A Liabiliti Korporat Akta SPRM 2009. Pihak korporat perlu melaporkan aktiviti rasuah di dalam syarikat mereka,”katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI