PUTRAJAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi perlu membuat laporan polis jika rasa perbualan mereka dicuri dengar.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, dua pemimpin politik itu tidak perlu takut sekiranya berasa dianiaya pihak tertentu memintas perbualan telefon mereka.
“Apa isi kandungan mereka bersembang itu perkara lain tetapi sekarang kalau betul ada cuba curi dengar percakapan telefon, sila adu kepada polis sebab ini kesalahan lain pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyertai Wacana Meja Bulat Bersama Menteri di sini berhubung isu kalimah Allah digunakan agama lain.
Terdahulu ketika program di Ipoh, Perak pada 9 April lalu, beliau pernah memberi jaminan bahawa polis bersedia menahan penyebar rakaman audio itu jika perbualan tersebut betul.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, laporan polis sepatutnya dibuat sendiri pihak pengadu yang berasa perbualan peribadi menerusi telefon telah digodam secara rahsia tanpa pengetahuan.
Pada masa sama, beliau turut memberi jaminan bahawa rakyat negara ini tidak perlu bimbang kononnya perbualan telefon mereka dicuri dengar pihak berkuasa dan mencabuli kebebasan.
Menyentuh wacana kali ini, beliau berkata, pihak Kementerian Dalam Negeri akan memanggil pelbagai tokoh agamawan Kristian bagi mendengar hujah mengikut perspektif agama itu.
Perbincangan meja bulat tersebut ujarnya, sebagai bentuk penyelesaian terhadap kemelut kalimah Allah dan berharap jika boleh tidak digunakan platform mahkamah sebagai kata pemutus.
“Saya lebih selesa sekiranya isu ini tamat di meja bulat seperti contoh berakhir Perang Dunia Pertama dan Kedua dahulu bukan di medan pertempuran, tetapi dialog pihak yang bertelagah. – K! ONLINE