PUTRAJAYA – Penggunaan internet di negara ini meningkat dengan ketara tahun lalu kesan daripada impak pandemik Covid-19, menurut laporan yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), hari ini.
Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2020 mendapati penggunaan internet dalam kalangan rakyat berusia 15 tahun ke atas meningkat kepada 89.6 peratus tahun lalu berbanding 84.2 peratus pada 2019 iaitu peningkatan sebanyak 5.4 mata peratus.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, peningkatan itu membabitkan penggunaan internet bagi aktiviti e-pembelajaran, e-Kesihatan, e-Kerajaan, e-Dagang dan hiburan.
Beliau berkata, antara aktiviti utama adalah membuat pesanan barangan atau perkhidmatan dalam talian, mendapatkan maklumat kesihatan, menggunakan perbankan internet, menjalani kursus tidak formal dalam talian dan menjalani kursus formal dalam talian.
“Aktiviti internet termasuk membeli barangan atau perkhidmatan melalui e-Dagang, menonton televisyen secara dalam talian, dan mendapatkan maklumat daripada organisasi kerajaan yang secara signifikan meningkat melebihi 7.0 mata peratus.
“Selain itu, peratusan membuat pesanan barangan atau perkhidmatan atas talian seperti melalui telefon, WhatsApp dan Facebook pula meningkat daripada 22.5 peratus pada 2019 kepada 54.4 peratus pada 2020 dengan peningkatan 31.9 mata peratusan.
“Pada masa sama, penggunaan internet untuk mencari maklumat atau perkhidmatan berkaitan kesihatan turut meningkat kepada 61.9 peratus tahun lalu berbanding 45.2 peratus pada 2019,” katanya menerusi kenyataan akhbar, hari ini. -K! ONLINE