SEPANG – Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) Bhd. menyasarkan untuk mengurangkan sehingga 25 juta tan pelepasan karbon dioksida pada tahun ini menerusi pengoperasian penerbangannya.
Ketua Pegawai Transformasi Kumpulan Malaysia Airlines Bhd., Mohd. Azharuddin Mat Sah berkata, pengurangan pelepasan karbon itu akan mampu mengurangkan kos penggunaan bahan api antara satu hingga dua peratus setiap tahun.
“Kami sememangnya berhasrat mencapai sasaran tersebut tahun ini yang antara lain pesawat dapat diterbangkan dengan lebih efisyen dan cekap dengan menggunakan pakai teknologi baharu.
“Di samping itu, kami turut menyasarkan untuk mencapai aspirasi yang serupa dengan pakatan OneWorld iaitu mempunyai pelepasan karbon dioksida sifar menjelang 2050,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Rangka Tindakan Kemapanan MAG di KLIA di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAG, Kapten Izham Ismail.
Sementara itu, Izham dalam ucapan berkata, rangka tindakan yang direka bentuk tersebut merangkumi semua aspek iaitu melibatkan faktor persekitaran, sosial, keselamatan, tadbir urus dan ekonomi.
“Kesemua aspek tersebut bersesuaian dengan Agenda Pembangunan Kemampanan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dengan mempertimbangkan beberapa Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
“Sehubungan itu, sebagai tindak balas kepada pertumbuhan global pada masa akan datang, kami sememangnya komited untuk menyediakan penyelesaian perjalanan penerbangan yang selamat dan berkesan,” katanya. – K! ONLINE