fbpx

Terkejut nampak jari sendiri putus dalam kasut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arjunaidi (kanan) berbual bersama Mohd. Aizuddin (duduk) dan penerima lain selepas menyerahkan surat penghargaan, hari ini. /FOTO NORHAYATI YAHAYA

SHAH ALAM – Kehilangan dua jari kaki akibat tersangkut dalam motosikal seorang suspek tidak pernah mematahkan semangat seorang anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dari Balai Polis Sungai Way membanteras jenayah.

Kejadian berlaku Rabu lalu di lorong motosikal di Batu 10, Sungai Way, Petaling Jaya ketika Koperal Mohd. Aizuddin Rozani sedang membantu melakukan operasi ‘snap check’.

Menurut Mohd. Aizuddin, suspek tersebut didapati cuba melarikan diri ketika motosikalnya ditahan untuk diperiksa polis.

“Kejadian itu berlaku secara spontan dan keadaan motosikal yang terlalu hampir dengan saya menyebabkan kaki saya tersangkut pada spoket motosikalnya.

“Saya ingat cuma sangkut biasa. Saya kemudian tunduk dan tengok kasut putus, bila saya angkat baru sedar jari kaki ada dalam kasut itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Suspek berusia 49 tahun tersebut kemudiannya berjaya ditahan dan menerusi pemeriksaan tubuh menemui dadah jenis heroin seberat 11.89 gram serta satu botol air disyaki ketum.

Terdahulu Mohd. Aizuddin menerima surat penghargaan daripada Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini.

Selain itu, tiga lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya iaitu Koperal Mohd. Faizal Zakariya yang bertugas di Pusat Gerakan Kawalan IPD Petaling Jaya dan dua anggota kereta peronda polis (MPV), Koperal Saifulidzuan Mat Nasir dan Koperal Khazarudin Suhaimi turut menerima surat penghargaan kerana kepantasan mereka bertindak berjaya menghalang kejadian lebih buruk.

Bercerita lanjut, Mohd. Aizuddin yang mempunyai sepasang cahaya mata memberitahu, ini merupakan kali pertama kejadian berlaku sejak 11 tahun menyertai polis.

“Bagi saya, hilang jari sudah berlalu tetapi hilang semangat belum lagi bagi membanteras jenayah. Ketika ini, saya masih bercuti sakit dan perlu menjalani beberapa rawatan susulan lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Arjunaidi berkata, perkara pertama yang akan dilakukan sekiranya mana-mana pegawai atau anggota terlibat dalam kemalangan ialah menentukan kebajikan mereka dijaga seperti mendapatkan ex-gratia dan sebagainya. -K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI