KUANTAN – Seorang kakitangan hospital di Lipis kerugian RM6,500 selepas terpedaya dengan kata-kata manis seorang individu bernama Dr. Kevin yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook.
Wanita berusia 37 tahun itu mula mengenali Dr. Kevin pada 10 Mac lalu selepas menerima mesej daripada lelaki tersebut menerusi aplikasi sosial berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki itu sekali lagi menghubungi mangsa pada keesokannya.
“Kevin beritahu bahawa 11 Mac adalah hari jadinya dan ingin memberi hadiah wang RM1 juta kepada mangsa sebagai tanda perkenalan.
“Selepas itu, Kevin meminta nombor akaun mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, mangsa bagaimanapun menerima panggilan daripada individu tidak dikenali pada 12 Mac dan diminta memasukkan wang untuk menebus hadiah diberikan Kevin.
Menurut beliau, mangsa kemudiannya memasukkan wang ke dalam nombor akaun berlainan melalui empat transaksi antara 16 hingga 27 Mac lalu.
“Selepas melakukan transaksi itu, mangsa menyekat nombor telefon Kevin pada 4 April lalu selepas berasa curiga kerana asyik meminta wang dan masih belum menerima hadiah yang dijanjikan.
“Mangsa tampil membuat laporan (semalam) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE