PETALING JAYA – Sime Darby Berhad selaku syarikat multinasional terkemuka melalui anak syarikatnya, Sime Darby Motors telah melancarkan Pusat Automotif Sime Darby yang dikatakan sebagai kompleks automotif terbesar di Asia Tenggara.
Majlis pelancaran tersebut telah berlangsung di Ara Damansara, di sini hari ini.
Pusat berkenaan mempunyai bangunan setinggi lapan tingkat dengan luas keseluruhan 0.12 juta meter persegi yang dibangunkan di atas tapak seluas 3.4 hektar.
Kompleks tersebut menempatkan enam pusat jualan utama menampilkan 10 jenama perdana di Malaysia yang diwakili Sime Darby Motors.
Segenap ruang kompleks berkenaan mampu memuatkan hampir 200 petak servis, kira-kira 700 petak parkir untuk pelanggan di samping petak mengecas kenderaan elektrik dan mempamerkan lebih 180 unit kenderaan -K! ONLINE