fbpx

Program Bangkit disambung ke empat negeri selepas Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL (empat dari kiri) bersama Mohamed Khaled (tiga dari kiri) pada majlis perasmian program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di Johor Bahru kelmarin.

JOHOR BAHRU – Program Bangkit yang hanya berbaki empat negeri lagi akan disambung semula di Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Sabah selepas Ramadan ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setelah kesemua negeri-negeri terlibat selesai mengadakan program Bangkit 15, UMNO pusat akan membuat penilaian daripada segi persediaan keseluruhan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, kesiapsiagaan parti adalah penting untuk menghadapi PRU-15 dengan penganjuran pelbagai kursus dan latihan yang diatur parti menerusi Biro Latihan dan Perkaderannya di seluruh negara.

“Tidak hanya tertumpu kepada persediaan sebelum hari pengundian, kursus yang bermula sejak 12 Mac lalu dengan Kedah dan Perlis menjadi negeri pertama yang menganjurkan kursus tersebut turut menekankan pengendalian semasa hari mengundi diikuti pasca PRU-15.

“Kursus tersebut dianjurkan khusus dengan pelbagai strategi supaya UMNO dapat bangkit semula untuk bertarung dalam PRU-15 kelak.

“Semua jenis latihan yang kita sediakan termasuklah kursus sewaktu pengundian, pengiraan undi dan juga selepas pilihan raya.

“Kursus lain yang berkaitan pilihan raya juga telah kita aturkan kepada ahli sepanjang program berkenaan.

“Kita mahu semua bersiap sedia pada setiap masa kerana kita tidak tahu bila PRU-15 akan diadakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bangkit 15 UMNO Negeri Johor di sini kelmarin.

Majlis perasmian bagi kursus yang dianjurkan selama tiga hari itu turut dihadiri seorang lagi Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Timbalan Pengerusi Badan

Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Dalam pada itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, kesepakatan dalam UMNO masih utuh meskipun dilingkari beberapa isu ketika ini sehingga menyaksikan beberapa pemimpin memberikan pandangan yang berbeza.

“Itulah cara UMNO sejak dahulu lagi, kita tidak pernah sekat atau halang sesiapa (beri pandangan), tetapi terserah kepada ahli nak cakap apa kerana akhirnya yang membuat keputusan sewajarnya adalah di peringkat tertinggi parti dengan mengambil kira input daripada semua pihak,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI