LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mampu menarik nafas lega apabila menang 2-1 ke atas Aston Villa pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Anfield malam kelmarin.
Lebih manis, kemenangan itu turut memastikan The Reds menamatkan badi kekalahan dalam enam perlawanan berturut-turut di laman keramat mereka sebelum ini.
Dua gol menerusi Mohamed Salah dan Trent Alexander-Arnold memastikan Liverpool bangkit daripada ketinggalan 0-1 menerusi jaringan penyerang Villa, Ollie Watkins.
“Satu kemenangan besar untuk kami kerana Liverpool tidak menang dalam enam perlawanan di Anfield sebelum ini, jadi saya lega kerana ia sudah berakhir.
“Villa bermain sangat baik selain mendominasi aksi separuh masa pertama. Hanya sedikit kesilapan membolehkan mereka menghukum kami dengan gol pembukaan,” kata Klopp.
Meskipun berjaya memperbaiki kedudukan dalam saingan liga menerusi kemenangan itu, namun beliau tidak mahu pemain-pemainnya leka menjelang perlawanan seterusnya.
“Saya tahu kedudukan ini mungkin tidak kekal lama tetapi kami perlu terus beri tekanan kepada pasukan-pasukan di atas. Oleh itu, saya harap semua pemain terus fokus dan jangan leka,” ujarnya. – AGENSI