WASHINGTON – Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menjelaskan imej ‘pelangi’ yang muncul dalam salah satu gambar yang diambil di planet Marikh sebenarnya pantulan cahaya lensa kamera, lapor akhbar The Sun, baru-baru ini.
Gambar tersebut menjadi tular dengan ramai orang cuba memberi penjelasan terhadap fenomena aneh yang kelihatan dalam gambar itu.
Beberapa pakar berpendapat ia berkemungkinan merupakan ‘habuk api’ yang terhasil daripada zarah-zarah debu di planet tersebut.
Pakar Perhubungan Media Makmal Jet Propulsion NASA, Andrew Good bagaimanapun mengesahkan imej itu sebenarnya adalah pantulan cahaya lensa kamera.
“Kami mempunyai pelindung matahari di Hazcams pada bahagian depan, yang dianggap penting dalam misi kerana diperlukan untuk bergerak ke hadapan.
“Pelindung matahari tidak dianggap penting di bahagian belakang, jadi anda masih dapat melihat biasan cahaya yang tersebar dalam gambarnya,” katanya.
Baru-baru ini, NASA meletakkan kapsyen pada gambar tersebut sebagai ‘Rover Penjelajahan Marikh NASA merakam gambar di kawasan ini menggunakan Kamera Pengelak Bahaya Belakang Kiri’.
Rover penjelajahan itu tiba di planet Marikh pada Februari lepas dan mempunyai enam kamera di atasnya. – Agensi