KUALA LUMPUR – ‘Perang dingin’ berlarutan, selebriti versatil Didie Alias mendedahkan sudah lebih tiga bulan tidak berhubung dengan sahabat baiknya yang juga pelakon, Amyza Aznan.
Kecewa dengan kemelut yang berlaku, Didie bagaimanapun menyerahkan segala pertimbangan kepada Amyza untuk menjelaskan punca sebenar keadaan tersebut.
“Saya agak kecewa tetapi tidak mengapa. Mungkin dia (Amyza) ada alasan sendiri dan biarlah dia yang menjawab mengenai apa yang sedang berlaku sekarang.
“Saya sedih sebab kami sudah macam darah daging. Jadi, apabila kita bercakap dan kita beri nasihat tapi kita pula dikatakan macam terlalu sibuk mengambil tahu hal orang, mungkin ada yang membenci saya.,” katanya pada majlis pelancaran Anugerah Bintang Popular ke-38 (ABP38) semalam.
Didie bagaimanapun memilih untuk tidak mengulas lanjut bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
“Saya sudah buat sehabis baik dan cuba membantu sehabis baik. Keputusan di tangan dia.
“Jadi, saya terpaksa tarik ‘handbrake’, maksudnya urusan berkaitan anak, suami dan keluarganya, biarlah dia uruskan sendiri. Saya tidak mahu ambil tahu lagi,
“Bagi perkara berkaitan dia, rasanya lebih baik dia jawab sendirilah dengan rakan media. Kalau tanya saya pun, jawapan ada pada dia bukan pada saya. Dia yang lebih tahu,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia menegaskan kemelut tersebut tidak membuatkannya serik untuk membantu orang lain yang memerlukan.
“Saya okey saja dan tetap teruskan hidup.
“Malah, saya seronok melihat dia juga tercalon dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular di ABP38,
“Kami yang tercalon dalam kategori Aktres Pembantu TV Popular ini semuanya geng-geng lama. Maknanya, kami masih lagi relevan dalam industri ini, insya-Allah,” tuturnya.
Sebelum ini, Didie sering berada di sisi Amyza ketika pelakon itu berdepan detik sukar susulan pemergian anak sulungnya, Andre Mikhail pada Februari lalu.
Malah, Didie juga antara selebriti yang memulakan tabung derma untuk rakan baiknya terutama selepas anak kedua Amyza, Adrian Adam disahkan menghidap kanser tulang.
Bagaimanapun, hubungan mereka dikatakan mula renggang kerana dilihat jarang muncul bersama yang dipercayai disebabkan berlaku perselisihan faham. – KOSMO! ONLINE
















